Dari:
www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera/20080415064802/Article(Berita Harian Online - M'sia)
Pesta buku medan tambah jualan
Oleh Nazmi Yaakub
BANYAK PILIHAN: PTS Publicatiions & Distributors antara gerai yang menerima ramai pengunjung.
Lebih dua juta berkunjung ke PBAKL 2008, melangkau sasaran awal
PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2008 tampil sebagai penanda aras baru untuk mengukur budaya membaca rakyat di negara ini di samping memberi nafas penyambung hayat kepada penerbitan buku tempatan.
Tanggapan lazim bahawa rakyat negara ini membaca dua buku setahun sudah ketinggalan zaman dan ini dibuktikan jumlah pengunjung PBAKL 2008 melebihi dua juta melepasi sasaran penganjur 1.5 juta dan prestasi 2007, iaitu seramai 1.2 juta pengunjung.
Keghairahan pengunjung PBAKL menunjukkan industri buku tanah air berpotensi terus maju sekiranya kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat penerbitan bekerjasama merangka rancangan memperhebatkan penerbitan buku serta diselarikan dengan promosi.
PABKL 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula 4 hingga 13 April lalu, tidak hanya menawarkan jualan pelbagai jenis buku terbitan dalam dan luar negara kepada pembaca.
Sebaliknya, delegasi perpustakaan dan institusi pendidikan, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia MBKM) selaku penganjur menyusun pelbagai kegiatan dalam bentuk perbincangan, pendidikan, hiburan, pelancaran produk dan seminar.
BERTEMU PEMINAT: Dari kiri, Aina Emir melayan peminat yang berkunjung ke gerai KernaDya Solutions pada PBAKL 2008.
Kegiatan anjuran agensi kerajaan, NGO dan syarikat swasta itu, menjadi tarikan tersendiri kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat pengarang di samping mengetahui judul serta produk terbaru, selain menambahkan ilmu pengetahuan daripada dunia ilmiah kepada ilustrasi.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) umpamanya memperkenalkan produk terbaru bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dengan melancarkan cakera padat, Puisi Tradisional: Syair dan Gurindam Jilid 1, sekali gus mengangkat martabat kesusasteraan tradisional.
Usaha menyemarakkan tulisan jawi turut berkumandang di PBAKL 2008 seperti Riang-ria Bersama Abang Azim yang menampilkan nyanyian lagu rakyat berdasarkan buku bertulisan jawi, Lagu Kanak-kanak Kalau Rasa Gembira yang d**endalikan Pegawai Perancang Bahasa DBP, Azimin Daud dan penyanyi jemputan, Haziq.
Permasalahan pemasaran dan penerbitan serta hak cipta buku dalam senario antarabangsa pula dibincangkan penggiat industri buku pada Persidangan Antarabangsa Industri Buku (Icobi) yang dihadiri kira-kira 200 peserta.
Persidangan bertema Memperkasakan Buku itu memperakukan kepentingan pesta buku sebagai medan mendapatkan maklumat dan melakukan urusniaga yang mampu memperluaskan edaran sehingga pada peringkat meneroka pasaran global, jika disertai strategi pemasaran yang betul.
Persembahan nyanyian dan baca puisi oleh Persatuan Anjung Seni Bingkas Kebayan (Bingkas Kebayan), bimbingan Ladin Nuawi pula menarik perhatian kalangan kanak-kanak dan sekali gus berjaya mengajak mereka untuk turut menyanyi mahupun menari bersama-sama kumpulan teater berkenaan.
Gerai PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS) menjadi antara pilihan utama pengunjung pelbagai usia kerana syarikat itu menawarkan pelbagai buku seperti novel popular lewat PTS Millennia; novel fiksyen (PTS Fortuna); judul umum (PTS Professional); buku kanak-kanak dan remaja (PTS One); karya terjemahan (PTS Litera) serta naskhah agama (PTS Islamika).
Malahan, PTS turut menampilkan pengarang dan penulis bukunya untuk memperkenalkan mereka kepada pembaca dan berkongsi pengalaman kepengarangan yang secara tidak langsung turut melonjakkan jualan buku.
KarnaDya Solutions Sdn Bhd (KarnaDya) pula tidak ketinggalan melancarkan buku terbaru mereka dalam koleksi KarnaDya Remaja, Inspirasi KarnaDya dan Dokumentari KarnaDya yang memperluaskan khalayak pembaca kepada pelbagai lapisan usia dan status sosial.
Gerai KarnaDya yang memenangi tempat kedua Pertandingan Gerai Tercantik dan turut dihiasi skuter serta set sofa, menjadi tumpuan pengunjung untuk mendapatkan judul terbaru di pasaran bagi melengkapkan koleksi buku terbitan syarikat berkenaan dalam simpanan mereka.
Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said, tampil di gerainya, Wira Bukit yang berkongsi dengan syarikat penerbitan anak SN, Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang, Haslina, menjadikan gerai itu antara tumpuan pengunjung dan pembeli bagi mendapatkan tandatangan dan kesempatan bergambar.
(Dr) A Samad turut membuka petisyen dengan mendapatkan tandatangan pengunjung PBAKL 2008 bagi menyokong tuntutan hak penerbitan tujuh bukunya daripada DBP sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai monsun yang bakal melanda sastera tanah air pada pertengahan tahun ini.
Di sebalik kemeriahan PBAKL 2008, masih ada kelemahan terutama membabitkan penyusunan kegiatan apabila penganjur mengubah Pentas Utama daripada Ruang Legar PWTC pada tahun lalu, kepada pentas yang tersorok di Dewan Tun Razak 2, tahun ini.
Perubahan ini awalnya menyebabkan kegiatan kurang mendapat sambutan sehingga penganjur terpaksa membuat laluan baru yang mengkehendaki peserta memasuki Dewan Tun Razak 2 terlebih dulu berbanding dewan pameran lain.
Sekiranya Pentas Utama di PBAKL 2009 d**ekalkan, penganjur disaran memasang skrin besar di Ruang Legar PWTC bagi menayangkan acara yang sedang berlangsung dan papan maklumat besar berhubung acara mendatang, sekali gus memudahkan pengunjung mengetahui acara terkini.
Penganjur juga dicadangkan untuk menyediakan gerai mini dengan menawarkan sewa lebih murah khusus kepada syarikat buku kecil dan penerbit yang bergerak secara bebas (indie), selain kelompok penulis yang mahu menjual buku terbitan sendiri.
PABKL 2008 turut mendapat kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim).