|
Post by S.K CintaZeni on Sept 1, 2008 15:58:32 GMT 8
Dari blog Zaid Akhtar di: myzaidakhtar.blogspot.comMengapa Pengarang Harus Berdakwah? Sebagai penulis yang terdidik dalam jurusan agama – seboleh mungkin – saya harus menjulang Islam dan berdakwah dalam penulisan saya. Peranan kita sebagai khaira ummah selalu singgah di telinga. Sebagaimana firmannya: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah (Ali Imran : 110). Justeru, saya melihat amar ma’ruf nahi munkar adalah tuntutan yang utama, yang perlu dilaksanakan oleh setiap dai’e, yang perlu diterjemahkan oleh setiap penulis Islam dalam penulisannya. Inilah yang kerap ‘menganggu’ saya setiap kali berhadapan tugasan menulis ini. Lantaran peranan melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar ini bukan sahaja terpikul di bahu pihak berkuasa atau pemerintah, tetapi setiap yang bergelar khalifah. Selain itu, saya juga seringkali disedarkan betapa penulis Islam harus menjadi manusia ulul albab - iaitu manusia yang berzikir dan berfikir. Saranan ini sangat jelas dalam ayat 191 surah Ali Imran yang berbunyi: “Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Saya kira dua ‘tuntutan’ itu sudah cukup untuk mewajarkan penulis berdakwah menerusi pena dengan menulis karya-karya yang menuju ke arah pelaksanaan kedua-duanya. Mungkin destinasinya dilihat sangat jauh, tetapi sekurang-kurangnya penulis sudah berusaha berdasarkan kemampuan yang ada. (Petikan kertas kerja Dari Nailofar ke Impian di Jaring: Pengalaman Dakwah Lewat Novel)
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Nov 1, 2008 17:40:40 GMT 8
Ustaz Zaid, kena tulis banyak-banyak artikel macam gini IMPIAN-IMPIAN dalam PENULISAN NOVEL DAKWAH Impian kita memang banyak. Namun dengan niat berdakwah seraya melangsungkan tuntutan amar ma’ruf nahi munkar dan pembentukan generasi ulul albab kita berharap karya-karya dakwah yang dihasilkan mampu mencapai tiga sasaran berikut: Novel Dakwah sebagai Model Kesemua protagonis dalam novel-novel kita setakat ini ditampilkan sebagai seorang pelajar Islam yang bercita-cita tinggi, kuat semangat Islamnya, memiliki sifat-sifat mahmudah, bijak bertindak dan sangat peka dan sensitif dengan ehwal sekelilingnya. Bagi kita, dalam sebuah novel dakwah, watak sebegitulah yang perlu ditonjolkan sebagai qudwah hasanah yang kita mahukan tegal pembacanya sedikit sebanyak akan terkesan dengan bahan bacaannya. Kita kira pembaca kontemporari mesti peka dengan isu-isu semasa, nasib umat Islam di tempat lain, malah harus prihatin dengan ancaman musuh-musuh Islam yang merosakkan umat Islam dengan ghazwul fikri (serangan pemikiran) dan ghazwul tsaqafi (serangan budaya) yang sangat terancang. Novel Dakwah sebagai Alternatif Masyarakat kita sudah terlalu banyak dilambakkan dengan karya-karya yang berbau cinta asyik-masyuk, hanyut tenggelam, dan melalaikan, justeru harus ada karya dakwah yang lebih baik yang hadir sebagai alternatif kepada pembaca. Kalau menulis karya berunsur cinta/melankolia sekalipun (baca: cinta sebagai bumbu, bukan sebagai mauduk utama), biarlah kisah cinta yang terkawal dan selari dengan batas-batas Islam – mengutamakan nilai-nilai Islam seperti tidak bergaul bebas, patuh ibu bapa, dan taat memelihara syariat. Novel Dakwah sebagai Perisai Bukan sekadar alternatif, karya dakwah harus diisi dengan pemikiran dan ilmu yang berupaya membangunkan diri dan rohani khalayaknya. Karya dakwah yang berjatidiri Islam dan Melayu juga mampu bertindak sebagai perisai kepada masyarakat yang menghadapi serangan budaya dan pemikiran yang bertali arus dari pelbagai jihat. (Diubahsuai daripada kertas kerja Kolokium Citra Dakwah dalam Novel Popular, 21 Ogos 2008, Puri Pujangga1, UKM)
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Nov 20, 2008 10:51:35 GMT 8
Novel Dakwah pikul tugas bantu pembaca oleh: Nazmi Yaakub
Disalin dari ruangan Sastera, Berita Harian (Oleh: Nazmi Yaakub) BLOG Zaid Akhtar Online di alamat www.myzaidakhtar.blogspot.com berkongsi impian penulisnya, Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih d**enali sebagai Zaid Akhtar untuk menjadikan penulisan novel dakwah sebagai usaha pengarang Muslim melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar, sekali gus membentuk generasi ulul albab. Pengarang itu berharap karya dakwah yang dihasilkannya mampu mencapai sasaran menjadikan novel dakwah sebagai model kepada pembaca dengan mewujudkan watak protagonis pelajar Islam yang memiliki cita-cita tinggi dan kuat semangat Islam serta mempunyai sifat baik atau mahmudah, bijak bertindak dan sensitif dengan hal ehwal sekelilingnya. “Dalam novel dakwah, watak sebegitu yang perlu ditonjolkan sebagai qudwah hasanah atau contoh yang baik agar pembacanya terkesan dengan bahan bacaan terbabit. “Pembaca kontemporari bukan saja mesti peka dengan isu semasa dan nasib umat Islam di negara lain, bahkan harus prihatin dengan ancaman musuh Islam yang merosakkan umat Islam dengan ghazwul fikri (serangan pemikiran) dan ghazwul tsaqafi (serangan budaya) yang sangat terancang,” laporannya dalam laman terbabit. Graduan Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Arab) daripada Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan, ini mengakui masyarakat sering dilambakkan dengan karya berbau cinta ‘asyik-masyuk’, hanyut tenggelam dan melalaikan sehingga karya berunsurkan dakwah perlu hadir sebagai alternatif kepada pembaca. Sungguhpun demikian beliau tidak melarang mereka yang berkecenderungan menghasilkan novel cinta, beliau mengingatkan agar karya tampil dengan kisah cinta yang terkawal dan selari dengan batas Islam seperti tidak bergaul bebas, patuh ibu bapa dan taat memelihara syariat. Sebagai penulis yang berpengalaman menghasilkan karya berunsur Islam, Zaid Akhtar memberi beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menghasilkan teks bermutu dalam genre ini dengan menyelitkan pemikiran dan ilmu yang berupaya membangunkan diri serta rohani pembaca. “Karya dakwah yang mempunyai jati diri Islam dan Melayu di negara ini mampu bertindak sebagai perisai kepada pembaca genre ini dalam menghadapi serangan budaya dan pemikiran buruk yang bertali arus daripada pelbagai arah,” katanya. Novelis dan certhingy kelahiran Endau, Mersing pada 16 April 1977 ini d**enali dengan novel, Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus dan Justeru Impian di Jaring yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan manakala novel terbarunya, Salju Sakinah, memasuki carta terlaris di pasaran. Zaid Akhtar yang berkhidmat sebagai guru Bahasa Arab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, kini menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM). - disalin bulat-bulat dari minggupenulisremaja.blogspot.com/2008/11/novel-dakwah-pikul-tugas-bantu-pembaca.html
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Feb 18, 2009 21:46:34 GMT 8
PETIKAN KERTAS KERJA mengenai SALJU SAKINAH (Bahasa dan Pemerkasaan Masyarakat dalam Novel-novel Berunsur Islam oleh Dr. Kamariah Kamarudin& Dr. Pabiyah Hajimaming, UPM)
Nilai al-Khayr (kebaikan) dalam novel Salju Sakinah dalam konteks Islam ialah hal-hal yang menjurus kepada kebaikan yang direstui oleh Allah SWT dalam galur kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, nilai kebaikan tersebut ialah perkara-perkara yang melibatkan amar makruf nahi mungkar yang menjadi landasan manusia yang beriman. Ini sejajar dengan peranan sebagai seorang Muslim yang perlu meyakini bahawa tujuan utamanya dalam hidup di dunia adalah untuk mengabdi kepada Allah SWT.2 Hal ini disuguhkan dalam al-Qur’an misalnya menerusi surah al-Baqarah ayat 110, surah Ali Imran ayat 110, surah Al-Nisa’ ayat 114, surah Al- Hajj ayat 41, surah Luqman ayat 17, surah Muhammad ayat 218 dan beberapa surah lain yang mengagaskan peri pentingkan nilai kebaikan dalam kehidupan manusia.
Justeru, menerusi novel Salju Sakinah, nilai kebaikan d**etengahkan pengarang menerusi watak-watak utama yang unggul yang berperwatakan dengan sifat mulia, iaitu berakhlak mulia, bersopan santun, berhemah tinggi, bertimbang rasa, berperi kemanusiaan, mengajak kepada kebaikan, berbaik dengan jiran dan berkasih sayang. Pemaparan nilai kebaikan yang d**emukakan pada watak Sumayyah terserlah menerusi corak pergaulan dan daya kepimpinannya sebagai seorang mahasiswa Universiti Yarmouk, Jordan.
Pengarang memperlihatkan watak utama ini sebagai anak muda yang cekal dalam meraih ilmu di perantauan. Dalam hal ini, didapati bahawa Sumayyah seringkali berusaha bersungguh-sungguh dalam prosesnya menekuni ilmu dengan para ilmuwan di bumi anbiya’ tanpa mempedulikan beberapa siri dugaan yang ditempohnya sepanjang menyudahkan pengajian tersebut. Kebijaksanaan Sumayyah mengawal emosi dengan mendekatkan dirinya melalui proses pembacaan buku-buku agama untuk meneguhkan dirinya sebagai Muslimah sejati menunjukkan usaha pengarang memugar masyarakat pembaca dengan bahasa yang baik dan berkesan: Umi tidak kelihatan, barangkali sedang lena di kamar. Petang Ahad begini memang enak jika beristirahat dan tidur, namun dia sudah tidur hampir satu jam pada sebelah pagi. Lantas dia ke ruang tamu dan mencapai buku La Tahzan yang sudah beberapa hari tertangguh pembacaannya. Rindu pula untuk menikmati inti buku motivasi terlaris itu. Di muka surat 145 hingga 146 buku itu, terselit kata-kata yang berbunyi: Jangan bersedih. Lantaran kesedihan itu menakutkan engkau untuk menghadapai masa depan. Dan kesedihan itu tidak akan mengembalikan yang hilang dan yang pergi; tidak akan menghidupkan yang mati. Dan kesedihan itu juga daripada syaitan! (Salju Sakinah, hlm. 198)
Berdasarkan cara pengarang menggambarkan sifat cintakan ilmu dan sikap rajin membaca Sumayyah dalam Salju Sakinah, jelas menunjukkan nilai kebaikan yang mengarahkan khalayak pembaca kepada hal-hal yang murni dalam kehidupan. Dengan menjadikan medan ilmu dan bahan bacaan agama sebagai hubungan menjalinkan rasa cinta manusia yang kudus kepada Allah SWT, novel ini mengajak khalayak mengambil ibrah (pengajaran) daripada buku La Tahzan.
Di samping itu, gambaran daya kepimpinan yang jitu pada Sumayyah turut memperlihatkan sahsiah diri yang terpuji bagi seorang anak muda. Pengarang mengemukakan nilai-nilai luhur Sumayyah dalam mengemudikan beberapa masalah kaum Hawa kala berada di perantauan. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai mahasiswa universiti, namun penglibatan anak muda tersebut dalam kancah persatuan tidak menghalangnya memenuhi tuntutan kuliah dan sebagainya. Malahan dengan menyertai persatuan, Sumayyah ditampilkan sebagai wanita yang hebat berhujah, berani mengemukakan pandangan, betah menyesuaikan pergaulan dan tenang berhadapan dengan pelbagai rencam kehidupan. Pengukuhannya terhadap agama dan penghayatannya terhadap Islam jelas menerusi ungkapan hadis Nabawi yang mendorong khalayak pembaca menjana fikiran tentang keunggulan Muslim yang bertaqwa: Sumayyah memberi salam, bertahmid dan berselawat sebagai mukadimah. Dia tidak berkeinginan bercakap lama, apatah lagi di hadapan rezeki. Lantas dengan tangan kosong dan tanpa persedian, dia mengungkapkan sepotong hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Al-Hakim berbunyi: “Barang siapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan (takwa), maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.” (Salju Sakinah, hlm. 123)
Selain itu, Sumayyah turut digambarkan sebagai seorang anak muda yang mempraktikkan ilmu yang dipelajari ketika membantu kawan-kawan dalam kesusahan. Menerusi Salju Sakinah, pengarang memaparkan ketekunan Sumayyah dalam kerja-kerja sosial, iaitu membantu orang lain tatkala ditimpa musibah. Dalam hal ini, didapati Sumayyah berusaha menyembuhkan sahabat wanitanya yang terkena penyakit histeria dan sihir dengan melakukan pengubatan menerusi pembacaan ayat-ayat suci al-Quran terutamanya Ayatul Kursi yang terkenal sebagai ayat penyembuh dan mujarab daripada gangguan makhluk halus dan sebagainya.9 Pengarang memperlihatkan nilai kebaikan yang ada pada diri Sumayyah berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk menyelesaikan permasalahan sekeliling: Lantas dia selawat Syifa’ dan selawat Tafrijiyyah sebelum dihembus ke telinga Masnida. Dan disusuli Ayatul Kursi yang dibaca dengan sembilan kali wakaf. Kala itu hatinya cukup yakin dengan hadis daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran. Tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan kecuali ia keluar darinya – iaitu Ayatul Kursi. (Salju Sakinah, hlm. 149)
Titipan Zaid Akhtar pada 1:24 AM 0 komentar
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Feb 18, 2009 21:48:43 GMT 8
PETIKAN KERTAS KERJA Justeru Impian di Jaring dari Perspektif Teori Taabudiyah oleh Shahrun Nizal Mohd. Nor
Estetika merujuk kepada keindahan yang dibenarkan oleh Islam. Dalam sebuah hadis ada dinyatakan bahawa Allah itu indah dan menyukai keindahan. Malah Islam sendiri mengakui bahawa manusia mempunyai naluri menyukai keindahan. Estetika dalam Islam tidak membenarkan kebebasan imaginasi yang tidak terbatas dan mementingkan keseronokan pancaindera. Kebebasan tanpa sebarang ikatan kepada tali Allah akan menerumuskan manusia ke lermbah kedurjanaan (Shahnon Ahmad, 1992: 76). Dalam hal ini, Allah telah menempelak golongan sasterawan yang terlalu mementingkan estetika melalui kebebasan imaginasi, sedangkan karya yang dihasilkan tidak bermanfaat. Firman Allah Taala dalam surah al-Syuara’, ayat 221-227 yang bermaksud:
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat. Tidakkah engkau melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka tidak perbuat. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta banyak mengingati Allah dan mereka beroleh kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke mana mereka akan kembali.”
Walaupun ayat di atas ditujukan kepada penyair, namun ia merangkumi juga kepada golongan sasterawan secara umumnya dan dijadikan panduan kepada sasterawan yang beragama Islam. Ayat tersebut mengariskan bahawa hasil sastera yang dihasilkan perlu memberikan manfaat, bukannya mementingkan kebebasan akal, naluri dan nafsu semata-mata. Selain itu, sasterawan perlulah beriman dan beramal soleh.
Dari sudut estetika, novel ini tidaklah menggunakan gaya bahasa yang terlalu indah dan berlebih-lebihan. Penggunaan bahasanya agak mudah difahami dan mudah dicerna oleh golongan pembaca, khususnya remaja. Pembaca tidak dibebankan dengan penggunaan gaya bahasa yang memungkinkan mereka berfikir lama untuk memahami sesuatu kosa kata, frasa, atau ayat. Pengarang tidak memilih untuk menggunakan gaya bahasa hiperbola sdan bombastik dalam novel ini. Yang penting, mesej dan pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui bahasanya yang lancar dapat disalurkankan kepada pembaca. Keindahannya terpancar pada nilai-nilai Islam yang terdapat dalam novel ini. Oleh yang demikian, novel ini mudah dihadam dan boleh dihabiskan pembacaannya ‘sekali duduk’ dalam tempoh dua jam.
Jika pengarang lain yang mendakwa menulis novel-novel dakwah atau novel Islami cenderung untuk memasukkan ayat-ayat al-Quran atau hadis, seperti novel Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman al-Shirazi, pengarang novel ini memillih untuk tidak menggunakan pendekatan tersebut. Tidak ada langsung sepotong ayat dan hadis yang keluar daripada dialog watak-watak tersebut, walaupun Syahir berasal daripada keluarga yang mementingkan agama. Hal ini bukanlah satu kekurangan dalam novel ini kerana mesej agama yang dibawanya disampaikan melalui cara yang lembut melalui akhlak dan keperibadian Syahir.
Ada kewajarannya dan rasionalnya pengarang tidak memasukkan ayat-ayat al-Quran atau hadis yang dililhat mengajar secara langsung kepada pembaca. Pengarang seperti menyedari bahawa jika novel ini terlalu sarat dengan penggunaan ayat-ayat al-Quran atau hadis secara keterlaluan, maka keberkesanan jalan cerita ini menjadi kurang lancar dan dilihat seperti sengaja dibuat-buat untuk mencantikkan novel ini. Pengarang tidak mahu ayat-ayat al-Quran dan hadis hanya menjadi ‘kosmetik’ novel sahaja keranma pengarang tahu bagaimanakh cara terbaik dan berhemah untuk mendekati golongan pembaca remaja yang ramai, khususnya pembaca remaja yang kurang mendalami agama. Pengarang mengetahui bahawa dakwah boleh disampaikan melalui banyak cara, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dalam menyampaikan mesej dakwahnya melalui novel ini, Zaid Akhtar menggunakan sudut pandangan orang pertama bercerita dengan menggunakan ‘saya’ sepenuhnya dalam novel ini. Penggunaan ‘saya’ menerusi sudut pandangan orang pertama amat jarang digunakan dalam novel-novel berbahasa Melayu kerana kebanyakan penulis lebih cenderung menggunakan perkataan ‘aku’.‘Saya’ mungkin kedengaran agak formal, tetapi perkataan ini sebenarnya bukanlah asing dalam perbendaharaan bahasa Melayu yang asalnya daripada perkataan ‘sahaya’.
Dari segi keberkesanannya, penggunaan ‘saya’ mempunyai kesan yang berbeza dengan pengggunaan perkataan ‘aku’ dalam sudut pandangaan orang pertama. Penggunaan ‘saya’ dari aspek bahasa secara umumnya lebih sopan daripada perkataan ‘aku’. Ini kerana novel ini adalah untuk bacaan remaja, Penggunaan ‘aku’ , sebenarnya agak kasar bunyinya dan terhad dalam keadaan tertentu. ‘Aku’ digunakan dalam konteks komunikasi antara individu yang mempunyai hubungan rapat seperti rakan sebaya yang akrab. Ada juga yang berpendapat bahawa ‘aku’ digunakan dalam komunikasi hubungan antara hamba dengan penciptanya (Allah).
Tidak dapat dinafikan bahawa ‘aku’ lazimnya akan memberikan kesan emosi yang lebih terhadap perasaan pembaca. Pembaca merasakan dirinya begitu akrab dengan watak dan akan menyebabkan pembaca yang khusuk seperti masuk dalam watak. Penggunaan ‘saya’ mungkin akan menyebabkan pembaca akan berada sedikit di luar lingkungan luar daripada watak itu. Namun, ini dapat mengelakkan pembaca menjadi ‘lalai’ dan menyedari dirinya adalah pembaca, dan bukannya watak. Dalam ertI kata yang lain, pembaca akan membaca dengan kesedaran, bukan membaca dengan dibuai emosi. Inilah hikmah yang terkandung di sebalik penggunaan ‘saya’ dalam sudut pandangan orang pertama. Melalui penggunaan ‘saya’.
Pelbagai teknik boleh digunakan untuk mengembangkan watak dan cerita, namun dalam karya-karya yang berunsurkan Islam, teknik khutbah dan deskriptif pengarang merupakan teknik yang lazim digunakan walaupun kebisaan teknik ini menjadi suatu klise yang tidak menarik (Mana Sikana, 2008:19).
Jika sesetengah novel yang dianggap sebagai novel dakwah menggunakan unsur-unsur nasihat secara langsung seperti gaya berkhutbah, Justeru Impian di Jaring tidak terikut-ikut dengan kaedah tersebut . Sungguhpun tidak berkhutbah, aliran pemikiran pengarang tentang mesej yang ingin disampaikannya mampu dilakukan melalui dialog yang dapatmemberikan kesan kepada pembaca. Dialog-dialog yang padat dan mengandungi pemikiran lebih berkesan kepada pembaca remaja berbading gaya khutbah yang mungkin membosankan.
Satu lagi aspek yang perlu diteliti dalam penerapan teori taabudiyyah ini dalam anlisis karya ialah fungsi karya. Ini dapat ditelitidan diaplikasikan dari aspek temadan persoalan, pemikiran dan falsafah, bentuk dan gaya, visi dan tasawuf Islam dalam dalam karya. Sastera dalam Islam tidak lahir daripada kekosongan semata-mata. Sastera dalam Islam menjadi wadah untuk masyarakat, khususnya untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan syariat Islam (Mana Sikana, 2008: 20). Ini bemakna, karya sastera mestilah mendatangkan manfaat kebaikan kepada masyarakat.
Berdasarkan analisis dan pengamatan novel ini, Justeru Impian di Jaring dilihat mapu membentuk keperibadian pembaca ke arah yang lebih baik. Novel ini memberikan contoh yang baik kepada masyarakat, khususnya melalui watak Syahir yang digambar dalam novel ini. Contoh ini pula amat sesuai ditujukan kepada golongan remaja yang menceburi diri dalam sukan tetapi berhadapan dengan dilema untuk memenuhi tuntutan syariat.
Sebagai karya yang dapat membangunkan sahsiah remaja, novel ini dapt membantu usaha kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti untuk membangunkan negara pada masa depan. Nilai-nilai kebaikan sentiasa disanjung tinggi dan dimartabatkan. Nilai-nilai kebaikan yang ditunjukkan melalui sahsiah dan akhlak Syahir dimenangkan apabila Syahir akhirnya berjaya menjuarai kejohanan badminton dunia walaupun dia menghadapi pelbagai cabaran dan kesulitan, lebih-lebih lagi dia memenuhi tuntutan syariat iaitu menutup aurat, walaupun bersukan.
Nilai-nilai yang buruk tidak dimenangkan, bahkan dimurkai Allah dan pastinya akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatan buruk yang dilakukan. Ini dibuktikan melalui tindakan Amiri yang menggunakan dadah perangsang untuk meningkatkan stamina dan prestasi permainannya dengan menurut perasaan hasad dengkinya terhadap Syahir. Keinginannya untuk mengatasi Syahir menyebabkan dia sanggup melakukan perbuaaan yang ditegah agama. Namun, perbuatannya terdedah dan dia disingkir dari Kejohanan Badminton Sedunia
Secara umumnya, Justeru Impian di Jaring bertitik tolak daripada tema dan tentang kewajiban menunaikan tuntutan syariat yang digariskan oleh Islam dalam kehidupan ini dalam kehidupan seharian. Inilah yang dilakukan oleh Syahir dalam novel ini yang tetap menutup aurat walaupun bersukan.
Memo: Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam program Bicara Karya Penulis Johor 2008 pada 20 Disember 2008 di Perpustakaan Sultan Ismail, JB.
Titipan Zaid Akhtar pada 10:18 PM 0 komentar Label: peribadi, sastera
|
|