|
Post by S.K CintaZeni on Mar 23, 2008 20:35:01 GMT 8
Salam,
dari satu segi, ini sambungan perbincangan 'ncik Isa dan S.K di forum isakamari.com dulu... Perbincangan tentang Novel Ilmu (istilah S.K) yang kami lanjutkan sehingga Singapore's Writer's Festival 2007 sewaktu sesi bersama Faisal Tehrani (FT) memandangkan FT boleh dikatakan salah seorang pelopor genre ini.
FT kemudiannya menurunkan detail tentang ilmu dalam karya kreatif ini, seperti yang dibentangkan oleh Professor Ungku Maimunah di sebuah seminar tahun lepas, dalam novel bersirinya, Perempuan, di Wajah Langit Pagi (yang MUSTI dibukukan, tuan! heh) instalmen bulan Mac, melalui suara watak tokoh kesayangan lagi idaman hati S.K, Ustaz Professor Dr. Ali Taqi:
"Secara praktis, menurut Ungku, ilmu ialah 'idea, pencernaan buah fikiran, hasil daripada fahaman yang jitu, bacaan yang luas, dan renungan yang dalam, yang dicanai oleh akal, yang kemudian diberi bentuk dan dihujahkan dengan yakinnya.'
Ungku Maimunah dengan itu berpandangan sesebuah karya sastera dapat diuji apakah mengutamakan ilmu atau cerita dengan melihat pemanfaatan ruang naratifnya. Ruang naratif dapat diisi dengan paksi naratif atau alat penceritaan.
Alat penceritaan yang lain ialah karektor, aksi, latar, gaya bahasa, kausaliti, konflik dan lain-lain. Justeru untuk mengetahui apakah pengarang mengutamakan ilmu daripada cerita, seorang pengkaji atau pembaca perlu melihat bagaimana alat penceritaan dimanfaatkan samada untuk tujuan "membangun, mengekal, memperpanjang dan menyelesaikan cerita, atau alat penceritaan itu dimanfaatkan untuk 'tujuan mengupas, menghurai, menghujah idea-idea bagi membina ilmu'.
Gagasan persuratan baru dengan itu menyediakan pilihan bagi pengarang untuk membina ilmu atau membina cerita dalam karya."
Komentar S.K melalui pengalaman tahun lalu sewaktu cuba kembali ke dunia novel akan menyusul nanti...
Wassalam.
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Apr 23, 2008 23:57:10 GMT 8
Masih lagi perbincangan antara Bastian dan pujaan hati S.K, Dr.Ali Taqi.
"Kata Dr.Ali tadi, kumpulan persuratan baru menolak ciri-ciri tempatan dalam karya?"
"Betul dengan konsep pemanfaatan ruang naratif atau epistemic choice, Ungku Maimunah misalnya merendah-rendahkan manfaat sebab dan akibat dalam permainan cerita. Siapa yang bermain dengan aspek ini dianggap tidak cukup "persuratan". Cerita jatuh tempat kedua dan dilunakkan dengan istilah "cerita berhemah". Ungku Maimunah juga tidak selesa dengan perincian dalam karya, atau segala unsur penceritaan seperti suspens, humor dan lain-lain sehingga gambaran yang diberikan ialah karya persuratan itu kaku, langsung dan tepu ilmu semata-mata sedangkan tanpa mereka sedari, mereka hanya menurut kerangka konseptual, yakni jauh dari Islam aktual yang dibentang oleh ahlul bait. Kita kena ingat karya persuratan tempatan peribumi sifatnya bukan hanya menghuraikan konsep, ciri lain adalah penghuraian peristiwa atau perincian plot dan lain-lain, karya kita juga ada penghuraian unsur konkrit untuk menunjukkan keupayaan, keagungan dan kehebatan Melayu-Islam. Contoh untuk hal-hal ini banyak tetapi saya tidak mahu huraikan di sini." Dr. Ali Taqi bagaikan membuat kesimpulan.
"Kalau begitu khusalahnya, apa bentuk persuratan baru Melayu-Islam yang sebenar? Jika gagasan persuratan baru ini dianggap meraban?" Bastian semakin faham.
Dr.Ali Taqi angguk, "Jadi, duduk persuratan Melayu-Islam haruslah begini. Ia satu pergerakan ke bawah. Allah sebagai Pencipta, Nabi Muhammad yakni Nur Muhammad sebagai pusat logos, itu kita namakan kamal atau kesempurnaan.
Ia turun kepada ahlul bait sebagai penerus kelangsungan Islam yang aktual yang kita namakan wilayah.
Mereka bukan hanya ilmuan tetapi cendekiawan kerana terlibat dalam pembangunan masyarakat, gerakan kreativiti karyawan seni harus menempuh laluan ini.
Barulah sampai kepada ayan sabitah atau idea umum di mana gestalt pemikiran Melayu, ia adalah manfa'at dan faedah untuk masyarakat.
Idea umum itu disampaikan dengan makna, dan penuh pengertian lalu turun kepada keindahan yang antaranya cultural literacy. Ini semua melibatkan pengarang.
Dari situ, ia akan turun lagi di mana ia akan membentuk genre yang dipilih pengarang atau kategori seni yang digulati karyawan. Ia kemudian turun lagi kepada khalayak yang akan menerimanya dengan hati nurani kerana ada logos spiritual dan wilayah, lalu menerimanya dengan emosi kerana ada keindahan pada karya."
Milenia Muslim - April 2008
Aduh, bila nak bertemu dengan Ali Taqi aktual untuk seorang S.K yang di Singapor? Dari zaman muda sampai sekarang, S.K gemar bercinta dengan bayang-bayang ;D Mudah-mudahan, Ali Taqi menjelma tak lama lagi...
Ahhh, S.K memang suka bermimpi yang tinggi-tinggi, heh...
Wassalam.
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on May 11, 2008 22:14:15 GMT 8
Salam,
kali ini antara Bastian dan Tengku Salwa:
"Apa pula keghairahan baharumu ini Basti?" Salwa melayan antara mahu dengan tidak mahu.
"Aku sedang menelusuri dan menekuni konsep irfan. Mahu berkongsi?" Mata hijau Bastian bercahaya, menatap Tengku Salwa sesungguh hati.
"Tahu, irfan itu satu akar kata dengan makrifah? Bererti ilmu pengetahuan. Bukan sebarang ilmu pengetahuan tetapi yang didapati tidak melalui indera mahupun pengalaman. Yakni yang tidak akan didapati pada wacana, pada perbahasan, pada kertas ilmiah, tidak juga pada rasio, atau cerita orang lain. Melainkan penyaksian rohani dan penyingkapan batiniah."
(Milenia Muslim - ms. 80)
========================================
Tengku Salwa geleng, menyapu calitan kek di sisi bibirnya. "Tentu ada sebab yang lebih jelas kenapa Islam menarik minatmu?"
Bastian ketawa rendah. "Tahu dalam ayat 101 surah Yunus, Allah berfirman: 'Katakanlah: Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.' Ayat ini, Salwa, mengajak manusia merenung sumber epistemologi dengan kaedah memerhati, melihat, dan merenungkan alam. Dan dalam masalah epistemologi, al-Qur'an pada al-Baqarah ayat 31, menyatakan: Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama, yakni benda-benda seluruhnya. Ayat ini menjelaskan Nabi Adam menguasai kemampuan epistemologi secara tidak terbatas."
Mulut Tengku Salwa melongo. Bastian ketawa, menyambung, "Menurut Mutahari, ada empat sumber epistemologi. Alam, rasio, hati dan sejarah. Kalau kita menggali sumber berempat ini maka akan lahirlah ilmu pengetahuan yang merupakan sebuah tenaga dan kemestian dalam membangun tamadun."
Tengku Salwa mengunyah keknya, mencelah. "Sungguh kau sudah terpesona dengan keunggulan Islam, ya?"
Bastian mengangguk.
ms. 83
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Jun 14, 2008 13:09:49 GMT 8
Salam, Pengalaman S.K secara ringkas... 1. Persuratan harus kembali kepada ketauhidan, menjadi zikir dalam fikir... (FT, ada karyamu tak sampai tingkat ni juga... mu tau yang mana Oh, kalaulah tak kerana ciptaan watakmu yang terbaik itu, Dr.Ali Taqi...) 2. S.K menemukan tiga dimensi penulisan/kepengarangan sewaktu S.K kembali menulis tahun lepas, berkenaan ilmu dalam persuratan ini. Dimensi Pertama - Plot yang diselitkan dengan ilmu bantu sebagai "accidental"/"unplanned". Yakni, Ilmu bantu tak terancang.
Sebelum menulis - Contohnya, dalam, "Corak", S.K sudah ada idea untuk menulis sebuah cerita dengan plot, latar dan watak. Watak pelukis itu perlu ada. S.K mahukan pelukis. Memang sudah merancang mengkaji aspek-aspek lukisan, sejarah lukisan dan sebagainya. Tetapi, kembali kepada persuratan yang kembali kepada ketauhidan, seeloknya, S.K bincangkan juga serba sedikit tentang lukisan dari aspek islami. Contohnyalah. Sewaktu menulis - Contoh, dari novel Ladang Hati Mustika, karya Ummu Hani. Rakan protagonisnya sakit. Protagonis melawat rakannya. Sewaktu menunggu menemukan pamphlet mengenai penyakit rakannya. Sedikit maklumat tentang penyakit diselitkan. Teringat pula "peluang terlepas" dalam novel "Justeru Impian di Jaring" oleh Ustaz Zaid Akhtar. JIdJ ada memuatkan sesuatu mengenai dadah, tak silap dadah steroids tetapi, tidak dielaborasikan kemudaratan dadah tersebut. Sayang. Walaubagaimanapun, tema novel ini, "awrat dalam sukan", sangat hebat! Dimensi Kedua - Novel Ilmu terancang (Planned knowledge) Pemilihan ilmu sebagai tunjang utama karya sebelum dimuatkan plot, latar dan watak. Contohnya, novel-novel FT seperti Manikam Kalbu (busana Muslim), Tuhan Manusia (ideologi pluralisme/sekularisme/penyelesaian kepada pluralisme/sekularisme) atau Ketupat Cinta (gastronomi Islami - yakni ilmu makanan, yang memang sudah kuduga akan musentuh jua, kwang, kwang, kwang...)... Dimensi Ketiga - Novel Ilmu terancang sebagai rakaman ketamadunan
Contohnya, Bedar Sukma Bisu. Ilmu pembuatan bedar (sebut Baydar). Atau membuat kereta lembu dalam Nama Beta Sultan Alauddin. Uhhh, ada sesiapa yang nak buat bedar atau kereta lembu? lol... Masalah novel-novel ini satu saja, bagi S.K. Perlu ada grafiknya! Sebab, siapa yang tahu bagaimana rupa alat-alat yang digunakan tu... PERINGATANMaklumat tidak bererti ilmu... Maklumat harus bererti untuk menjadi ilmu. Contoh maklumat, bukan ilmu, dari Manikam kalbu, nenek Ziryab menghidap Alzheimer's. Dia diberi ubat dan pengarang menuliskan nama-nama ubat tersebut. Tetapi, sayang, tidak dikaitkan kembali dengan kerelevanan kehidupan bagi mereka yang menghadapi situasi di mana orang yang tersayang menghidap penyakit tersebut. (So. Sape kata, gue tak kritik karya pengarang nih. Eeek, gue gerem sampei sekareng. Ingatkan, gue takotkah sama diye? ) Contoh baik dari Ketupat Cinta - segala resepi dan panduan (KECUALI sihir, jampi serapah dan sebagainya, lol) bolehlah digunakan untuk kegunaan seharian tak kira perempuan atau lelaki... Malangnya, novel berilmu terbaik yang pernah diusahakan oleh FT ini akan dihentikan penerbitannya. Yang benar, Calon terbaik Anugerah Pembaca Singapor Paling Ngetop ;D Wassalam.
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Jun 14, 2008 13:31:42 GMT 8
Nota tambahan S.K -
..... perlulah para pendakwah yang menulis mengkaji pendekatan lain yang lebih baik untuk menyampaikan mesej mereka.
Dan kerana berdakwah punya berbagai cara, tak semestinya buku-buku Islami semuanya berat-berat berwacana tentang Islam atau ringan-ringan sahaja. Ada juga yang sedang membuat negosiasi diantara wacana berat dan pembentukan fikrah Islami seperti yang terdapat dalam novel Zaid Akhtar, Justeru Impian Di Jaring. Kalau kita letakkan novel-novel Islami di satu spektrum, mungkin, di satu bahagian, kita akan dapati novel-novel seperti Ayat-Ayat Cinta (AAC), kemudian, menjurus kepada novel-novel pertengahan seperti JIDJ, kemudian, di hujung terakhir, novel-novel berat seperti novel-novel FT. Katalah:
X (AAC) | | |->(JDJI) | | Y (NovelFT)
Kita akan mendapati setiap bentuk novel memenuhi hasrat citarasa pembaca yang berbeza-beza dan berdakwah dengan cara berbeza-beza. Ada yang tak boleh menerima novel-novel Y tapi ada yang seperti saya sangat minat dengan novel-novel Y kerana membantu saya memahami sesuatu dari perspektif berbeza.
Novel-novel seperti JIDJ pula boleh menjadi jambatan antara X dan Y kerana menyediakan pembaca X untuk memahami novel-novel di Y. Apabila khalayak X sudah bersedia, mereka akan dahagakan penulisan bermutu di bahagian Y. Apabila mereka mula mencari, bahannya sudah wujud, insyaAllah. Kita perlukan berbagai bentuk novel Islami ini kerana dengan kepelbagaian, kita akan dapat menyentuh hati seberapa banyak pembaca yang mungkin, insyaAllah.
Wallahu'alam.
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Jun 22, 2008 23:51:19 GMT 8
November 2006 Akhbar online
Bagaimana mengenal novel tidak berkhasiat? Oleh Faisal Tehrani
PERTENGAHAN Disember ini, kepimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan rakusnya menganjurkan seminar novel popular yang bertujuan untuk mengangkat karya pop dan mengiktirafnya dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia kelak. Tidak pernah ada usaha untuk menyamaratakan novel pop dengan novel dari lapangan kesusasteraan (sesetengah menggunakan persuratan) kecuali di Malaysia. Idea-idea sesat dan membingungkan ini berbumbu kepada fahaman liberalisme iaitu 'apa sahaja sama'. Konsep 'apa sahaja sama' itu sendiri sudah tidak munasabah dan tidak lojik.
Sebelum fikiran kita d**elabukan oleh sekumpulan sarjana sastera yang berkampung dan rela menghumbankan kebenaran demi untuk memenuhi matlamat hodoh penganjur, eloklah kita awal-awal membenteng diri kita dengan persoalan ini.
Sempena seminar yang bakal dianjurkan itu saya menyarankan idea-idea ini untuk direnung dan ditekuni dengan hati yang jernih.
Kasta
Perbahasan mengenai duduknya novel popular dan novel serius dalam peta sastera tanahair mahupun dunia tidak pernah berakhir. Di Barat, sesetengah penulis berasa bangga mereka tergolong dalam kelompok penulis novel popular. Tetapi di sesetengah negara termasuk Malaysia, penggolongan begini adalah sesuatu yang sensitif dan barangkali berakhir dengan penulis bermasam muka dengan pengkritik atau saling menyimpan rasa sesama sendiri. Dengan mengabaikan sorot pandang mata penulis, justeru apakah itu novel popular, novel picisan dan apakah pula novel serius? Ini amat signifikan untuk dijadikan panduan oleh pembaca yang berminat untuk mendapatkan bahan bacaan yang bermutu bagi diri sendiri mahupun keluarga.
Novel Picisan
Pertamanya, biarlah kita mengenepikan dahulu novel picisan dari perbincangan kerana ternyata bentuk novel ini tidak harus mendapat tempat dalam peta sastera. Malah novel picisan bukanlah sastera sekalipun. Novel picisan ternyata lahir dari satu budaya kitsch yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Istilah kitsch dipelopori oleh tokoh sosiologis Dwight Macdonald menggambarkan kelahiran budaya popular (produk media elektronik dan cetak) sebagai produk sampah.
Secara mudahnya kitsch adalah budaya pop yang tidak berjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa. Kehadiran program realiti tv atau rancangan telenovela sebagai contoh adalah hasil kitsch. Dalam industri buku, kitsch menyebabkan kelahiran 'chapbooks' atau buku untuk kesenangan pembaca. Karya dengan nilai sastera dan estetika tidak lagi dibaca sebaliknya tumpuan diberikan kepada buku masakan, buku ramalan astrologi termasuklah bahan lucah. Kehadiran majalah yang memainkan persoalan tahyul, lucah dan misteri adalah sebahagian dari kitsch. Ini malah boleh dihadirkan menerusi media elektronik. Di sini jugalah muncul karya dan novel picisan yang hanya mementingkan selera rendah pembaca.
Novel Popular
Bagaimana pula kedudukannya dengan novel popular? Salah satu rujukan yang bernas ialah tulisan Walter Nash, Language in Popular Fiction. Menurut Nash, karya pop mudah dibezakan kerana ia tidak ada merit: 'Karya pop, adalah umpama satu artikel yang boleh dibuang, hanya ditunjangi satu moral yang amat mudah dan paling ringkas, disuntik psikologi yang paling kasar dan hanya dihidangkan dengan satu dua pendapat yang disangkakan falsafah' .
Apa yang dimaksudkan oleh Nash di atas dapat ditafsirkan sebagai karya popular adalah sebuah karya yang senang untuk penulis dan menyenangkan pembaca, dan sekadar disisipi pengajaran moral yang ringan (serta sudah sedia difahami umum) selain ditabur elemen psikologi yang tidak diperhalusi ketika kraf atau penciptaannya. Untuk melindungi novel pop ini dari jatuh terjerumus ke dalam kelompok picisan, maka disarankan satu dua falsafah yang tidak ada kepentingan.
Scott McCracken dalam bukunya Pulp: Reading Popular Fiction mengatakan novel popular hanya mementingkan aspek-aspek struktural novel semata-mata. Penulis amat mementingkan plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan dan sebagainya sambil mengabaikan bahagian yang paling penting dalam novel iaitu makna.
Menurut McCracken, bentuk novel boleh menjadi apa sahaja. Pengarang bebas memilih genre roman cinta, detektif, fantasi, sains fiksyen, dan seram tetapi makna dan pengisian karya adalah yang paling penting. Apakah hadaf atau matlamat penulisan karya tersebut? Apakah yang dapat dikongsi oleh pembaca menerusi karya? Apakah ilmu pembaca bertambah dan dirinya didorong untuk melakukan kebaikan serta meninggalkan keburukan, tidak diberatkan.
Ini bermaksud sesebuah karya itu dinilai sebagai pop atau tidak menerusi falsafah dan pemikiran yang d**emukakan olehnya. Seandainya kita hanya menemukan satu dua falsafah yang biasa dan tidak berjejak maka novel tersebut berhak dikategorikan dalam kelompok novel popular.
Dan jika novel tersebut kukuh dan tepu pemikiran sekalipun tetapi gagal dalam estetika bentuk, di mana plotnya lemah, gaya bahasanya tunggang langgang dan ceritanya adalah terdiri dari kisah lingkungan dekat yang gagal menangkap pembaca, maka ia masih terkelompok dalam kategori novel pop.
Pembahagian novel popular dan novel serius telah lama berakhir dalam kalangan masyarakat sastera di Barat. Pada tahun 1964 Stuart Hall dan Paddy Whannel telah menyenaraikan sejumlah doktrin yang menjelaskan fenomena karya pop. Fenomena ini mereka hubungkan dengan budaya popular waktu itu. Doktrin-doktrin tersebut ialah:
1. Penciptaan karya tersebut dikawal oleh kehendak persekitaran dan kreativiti penulis disekat. Misalnya, adalah lazim bagi penerbit karya pop mengatakan, 'Awak tidak boleh menulis karya dengan plot jungkir balik, atau awak tidak boleh memuatkan terlalu banyak elemen dakwah kerana pembaca tidak faham atau tidak ada pasaran.'
2. Pembaca tidak lagi dilihat sebagai mereka yang terlibat dalam pembinaan bangsa dan agama tetapi dipandang sekadar pembeli semata-mata.
3. Dunia pseudo diciptakan oleh penguasa media sehinggakan pengalaman kita menjadi stereotaip menerusi karya-karya pop tersebut.
4. Dunia pembaca yang d**ecilkan menerusi karya-karya ini amat jelas dan terasa. Novel popular menjadikan pembaca duduk dalam acuan yang sama sehingga dunia mereka ikut terperangkap. Sebagai misalan, penulis novel popular menghidangkan perangkap cinta tiga segi atau konflik yang diulang-ulang dan hanya diubah watak dan latar dalam karya-karya berikutnya.
5. Novel popular juga memutuskan diri dari pendekatan bercerita akar tradisi bangsa seperti sastera rakyat, termasuk pengabaian aspek sejarah. Kehidupan kontemporari ditekankan melebihi latar dan persoalan masa lampau.
6. Novel popular juga sekadar untuk memenuhi kepuasan dan selera rendah pembaca. Pembaca tidak akan dipaksa berfikir sebaliknya hanya didorong untuk mendapat kenikmatan dan rasa terhibur di hujung bacaan.
7. Novel popular menyediakan satu pembebasan dari realiti. Khalayak ditujah dan disuguh dengan dunia khayal yang penuh mimpi semata-mata seperti yang dapat d**esani pada telenovela yang bercambah dalam media elektronik.
Baik, itu adalah pandangan Hall dan Whannel. Bagaimana pula kita meletakkannya dalam konteks Malaysia, sastera Melayu? Saudara harus merenungkan yang novel popular di negara kita secara mudahnya dapat d**esani menerusi: a. Nilai seni yang rendah (tiada strategi naratif/teknik). Kita dapat mengesan misalnya kerosakan bahasa. b. Pemikiran kerdil contohnya masalah peribadi, atau masalah lingkungan seperti masalah rumahtangga yang bergolak dan sebagainya. Karya seumpama ini digerakkan menerusi dialog, dan trivia (pembangunan hero dan heroin).
Novel Pop Ada Kasta
Untuk makluman saudara, novel popular juga ada kategorinya sendiri. Kategori yang paling rendah ialah karya porno, erotis, karya dengan penjahanaman bahasa, atau novel yang tiada pegangan dan lingkungan, struktur karyanya pula hancur, tiada garis cerita dan sebagainya.
Tahap kedua, yang baik sedikit dari kategori sebelumnya ialah karya tersebut tidak lagi porno, tetapi tidak teliti dalam hal moral, bahasanya sederhana dan tiada pemikiran.
Masih dalam lingkungan novel popular ialah karya yang bahasanya baik, ada unsur puitis yang keterlaluan, tidak teliti dalam hal moral meski berusaha untuk menjunjungnya. Karya ini mungkin berusaha untuk mencapai estetika makna tetapi dari segi bentuknya tidak ada teknik, tiada falsafah, tiada signifikasi untuk masyarakat dan ummah, dengan paparan realisme langsung yang kosong.
Apakah Novel Serius?
Sekiranya begitu, apakah pula batas untuk novel serius? Inilah satu lagi persoalan yang perlu dijawab. Novel serius yang dimaksudkan di sini ialah novel yang dapat diangkat kedudukannya dalam kelompok persuratan. Novel begini tentulah memiliki asas-asas yang kukuh.
Asas-asas yang kukuh itu ialah karya harus mempunyai fungsi intelek dan fungsi estetik. Kesepaduan ini harus pula didokong dengan hakikat ilmu dan amal.
Hakikat ilmu dan amal dalam konteks persuratan ialah ilmu yang benar (bermaksud ia tidak mengelirukan dan meragukan) kerana ia kelak akan menjadi asas kepada amal manusia. Ilmu yang salah menyebabkan amal dan usaha sia-sia. Ilmu yang benar akan mendatangkan keyakinan.
Pandangan Syed Muhammad Naguib al-Attas boleh dijadikan pegangan di sini. Beliau menakrifkan ilmu itu sebagai penitisan makna sesuatu ke dalam diri, di mana ilmu akan membuatkan manusia sampai kepada makna sesuatu. Tiga sumber ilmu pada manusia datangnya dari wahyu, akal dan pengalaman. Ketiga-tiganya memiliki perbezaan besar pada beliau: Pengetahuan diperolehi melalui akal dan pengalaman, manakala ilmu hanya dapat dicapai melalui iman, tetapi pengetahuan yang mendalam boleh menguatkan iman, mengukuh keyakinan dan membuat orang insaf kepada keterbatasan akal serta pengalamannya.
Ilmu dengan itu menjadikan manusia berhikmah dan bijaksana sedang pengetahuan menjadikan manusia pandai dan mahir melakukan sesuatu. Ilmu membawakan manusia ke arah amal saleh sedang pengetahuan membawa manusia kepada fasad.
Pandangan Profesor Hamka turut menarik untuk direnung kembali. Ilmu menurut Buya Hamka ialah hikmah. Dalam konteks ini kita dapat katakan sastera itu pemikiran, pemikiran itu ilmu, ilmu itu hikmah, hikmah itu rahsia untuk kembali kepada kebenaran Tuhan. Hikmah meliputi pemikiran, hukum dan falsafah. Dalam Islam gagasan keindahan sesuatu karya ialah ilmu justeru orang yang tiada ilmu tidak dapat mencapai keindahan.
Menerusi bahasa mudah novel serius yang dapat dipertanggungjawabkan sebagai karya persuratan ialah sebuah karya yang mementingkan percambahan pemikiran, ilmu dan mendorong manusia berfikir dan melakukan amal yang baik. Ini dapat dicapai menerusi kerjasama estetik dan intelektual yang saling berjalinan.
Aspek fiksyen tidak lagi terkurung pada sifat penuh khayal, imaginatif, atau sekadar tersekat sekitar daya reka dan cipta seniman. Sebaliknya ilmu adalah tunjang paling utama dalam membezakan mutu sesuatu fiksyen itu.
Novel serius menurut acuan persuratan jika begitu boleh sahaja tampil dalam apa juga genre dan bentuk (termasuk detektif, fantasi, seram mahupun sains fiksyen) asalkan memberi kesedaran dan membawa ke arah unsur positif. Watak jahat misalnya boleh ditampilkan tetapi mesti diberi kesedaran dan membawa ke arah unsur baik. Apa yang penting ialah value judgement ke arah kebaikan harus ditonjolkan di akhir cerita. Selain itu, pengarang tidaklah dalam keadaan merdeka untuk melakukan apa sahaja. Pengkarya tidak bebas kerana mereka terikat untuk menyempurnakan karya dan diri mereka sendiri ke arah kesempurnaan.
Sikap Kita
Tidak, kita bukan berakar daripada satu golongan ekstrim yang ingin menghapuskan golongan novel pop ini. Kita tidak ingin membakar kilang atau pejabat penerbit novel picisan atau pop sekalipun. Kita bukan puak Taliban. Bukan pula kelompok neo khawarij yang menyangak dirinya sahaja benar. Kita juga bukan dewa minta dipuja tetapi kita berhasrat meletakkan batas supaya kebingungan yang sedia ada tidak makin menjalar.
Mereka ada pengikut sendiri. Mereka tidak masuk dalam litar perlumbaan sekalipun. Tidak munasabah menjemput pemandu bukan F1 bersaing dengan pemandu profesional F1 di litar Sepang.
Apa yang kita tuntut ialah supaya tidak mencampur adukkan antara sastera dan bukan sastera. Novel picisan dan pop bukanlah karya sastera. Jangan kelirukan diri kita dengan hal ini dan merosakkan kekeruhan sastera kita hingga tambah keruh lagi.
Sikap kita ialah menuntut supaya novel picisan dan pop tidak diangkat dan didudukkan bersama karya sastera. Di Barat sekalipun JK Rowling tidak dimasukkan dalam indeks sastera mereka. Letaknya Rowling ialah dalam dunia hiburan. Kita tidak dapat meletakkan orang yang tidak sepatutnya atau karya yang tidak sepatutnya bersama karya dan pengarang sastera. Jika ia tetap berlaku, itu namanya kita menzalimi diri.
Kesimpulan
Untuk penulis-penulis yang baru mahu berjinak-jinak dengan dunia penulisan, pembahagian seperti ini amat penting untuk mereka kenali dan ketahui. Penulis mestilah memilih apakah kategori karya yang ingin dihasilkannya. Sama ada karya bentuk picisan, popular ataupun serius. Walau apa pun pilihan penulis muda kelak dan walau apa pun alasan yang diberikan untuk mewajarkan pilihan tersebut, penulis mestilah mengetahui bahawa bakat yang diberi Tuhan itu tidak datang dengan sendiri, sebaliknya adalah satu anugerah, merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar dan mesti disempurnakan sebaik-baiknya.
Justeru jangan menggunakan pena sebarangan. Sebagai pembaca pula pembahagian kategori karya begini amat bermanfaat supaya mereka dapat memilih berdasarkan selera dan kepercayaan masing-masing. Pembaca yang hanya terhad tertakluk pada karya-karya ringan dan tidak beralih kepada sesuatu yang lebih penting dan besar akan terus terbenam dalam takuk lama di lubuk serupa. Tepuk dada tanyalah selera!
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Jun 23, 2008 17:35:20 GMT 8
'Memasjidkan' lapangan seni
Faisal Tehrani Wed | Sep 20, 06 | 4:00:31 pm MYT Harakahdaily.net
Ada yang bertanya kepada saya, apakah pengisian budaya Islam? Jika hal-hal ghaflah bukan muatannya? Kata mereka lagi, baiklah kami menerima estetika makna untuk produk seni dalam Islam haruslah kembali kepada tauhid.
Apakah pengisiannya? Ilmu.
Tugas menghantar ilmu dalam karya persuratan serta kesenian seluruhnya mengakibatkan budayawan dan seniman Islami perlu sentiasa mendalami dan menuntut ilmu supaya karyanya tidak menjadi sia-sia dan sekadar hanya bercerita.
Seseorang seniman atau mungkin juga karyawan filem yang berhasrat untuk mencari ilmu hendaklah pertama-tamanya menjalani proses mensucikan jiwa; serta menanamkan rasa takwa (atau takut kepada Allah) dalam jiwanya. Untuk menuntut ilmu, seniman hendaklah membebaskan dirinya dari sebarang niat yang keji dan bermotifkan keduniaan. Hal ini memerlukan budayawan perlu sering melihat dan menilai diri samada ilmu yang diperolehinya adalah untuk tujuan keduniaan atau sebaliknya.
Taqwa ciri khusus seorang alim
Budayawan juga sentiasa mengingatkan dirinya sendiri bahawa taqwa tadi atau takut kepada Allah adalah satu ciri khusus seorang alim (orang yang mempunyai ilmu) dan sesiapa yang tidak mempunyai sebarang rasa takut kepada Allah dengan sendirinya berada di luar barisan orang yang mempunyai ilmu, meski berapa banyak sekalipun dia telah menghafal kitab atau betapa mengkagumkan pun ucapannya ketika berhujah.
Pedoman untuk setiap yang menuntut ilmu khususnya buat seniman karya persuratan ialah setiap jejak langkah mereka dalam menuntut ilmu itu hendaklah sentiasa merenung, memikir serta menghayati dengan mendalam apakah yang sebenarnya menjadi tujuan utama di sebalik ilmu yang dipelajari dan ditekuni.
Jika misalnya tujuan menuntut ilmu itu hanyalah untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, atau untuk bertanding dengan kawan atau kumpulan, atau jika memang bertujuan untuk meraih anugerah, ijazah dan kedudukan sosial maka tujuan ini adalah tujuan yang berasaskan duniawi.
Sekiranya ilmu yang dicari itu adalah dengan niat untuk menulis buku mahupun kertas kerja supaya dipuji sebagai seniman berilmu semata-mata tanpa ada langsung mengharapkan keredhaan Allah dan berbakti kepada makhluk-Nya maka budayawan tadi telah mensia-siakan tujuannya untuk menjadi seniman yang berilmu.
Ilmu yang benar ialah ilmu yang seharusnya memimpin manusia menjadi lebih bertakwa, ilmu itu juga akan mendorong si pemiliknya melakukan amalan dengan ikhlas selain menjadikan diri mencintai dan lebih takut kepada Allah dengan bertambahnya ilmu tersebut. Ilmu yang tidak menjadikan seseorang melakukan amalan yang baik bukanlah ilmu yang hak.
Seniman harus menyedari Ilmu yang terhad pada kuliah, syarahan, ceramah dan tidak menampung aplikasi praktikal untuk makhluk Allah adalah ilmu yang berada di tahap paling rendah dan pasti pudar dengan berlalunya detik masa.
Budayawan perlu memerhati tingkah laku
Supaya budayawan kita berada di jalan yang benar ketika menuntut ilmu, mereka hendaklah sentiasa memerhatikan tingkah lakunya sendiri. Seniman misalnya, harus bertanya adakah ilmu yang diperolehi menjadikan diri lebih rendah hati dan lebih bersabar?
Atau adakah ilmu itu kelak menjadikannya lebih sombong, angkuh dan rajin berbalah? Adakah ilmu itu menjadikan diri lebih sulit menerima kebenaran dan mengakui kejahilan dalam kalangan manusia? Adakah pula menjadi manusia berilmu yang memesongkan diri serta menjadikan rasa cemburu dan nafsu emosi sebagai Tuhan.
Hari ini budayawan kita perlu difahamkan yang egoisme pada karya (katakanlah pengarah filem yang beria-ia mempertahankan kesesatan karyanya) bakal punah dan terhapus dengan ilmu yang hak. Dan petunjuk atau tanda yang terdapat dalam ilmu yang hak adalah; tidak terdapat sama sekali egoisme, keangkuhan, mencintai diri sendiri dan kesombongan.
Saat proses menelusuri jalan ilmu ini seniman hendaklah berserah kepada Ilahi, menghormati guru, tidak pula malu untuk mendapatkan ilmu daripada yang lebih muda. Seniman juga perlu bermuhasabah dengan apa yang telah pelajari. Doa kepada Allah dengan memohon rahmat-Nya, dan mengharapkan diilhami dengan idea-idea yang baik, supaya Tuhan melindungi diri dari menggunakan ilmu untuk mendapatkan kepentingan dunia dan bermotifkan diri sendiri sahaja.
Budayawan harus menyemat dalam benak mereka yang Imam Ali berpesan: "Seorang yang keluar untuk mendapatkan ilmu adalah seperti seorang yang berjuang di jalan Allah" [lihat Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, jilid 1, pada halaman 179.]
Budayawan harus juga memahami realiti ilmu yang mana Nabi Muhammad (saw) bersabda: "Ilmu tidak (diperolehi) melalui kuatnya belajar. Bahkan, itu adalah cahaya yang Tuhan pancarkan ke dalam hati sesiapa yang Dia hendak berikan petunjuk." [Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, jilid 67, ms 140]
Seniman Islam perlu kuasai ilmu
Budayawan atau seniman Islami tidak dapat tidak, perlu berusaha untuk menguasai semua cabang ilmu, tidak kira apa juga jenisnya. Ilmu dapat dibahagikan kepada dua kategori yang luas:
(1) Ilmu pengetahuan akhirat, yang bermatlamat untuk mencapai kedudukan tinggi di sisi Allah, berbakti kepada makhluk Allah, dan mendapatkan ganjaran di akhirat.
(2) Terdapat pula llmu pengetahuan dunia, yang bermatlamat untuk mengejar kebendaan, kekayaan, kedudukan sosial, dan kepuasan egoistik selain bertujuan untuk kepentingan diri. Dari itu, niat disebalik mendapatkan ilmu itulah yang menentukan tujuannya samada untuk keduniaan atau akhirat.
Budayawan atau lebih khusus seniman yang bakal berkarya harus mengingat bahawa ilmu yang hak akan memimpinnya melakukan amalan terpuji dan membawanya hampir ke hadrat Ilahi. Jiwa seniman yang dikuasai oleh kecintaan diri dan condong kepada maksiat akan menerima ilham berperibadi syaitan, akan hanya membuatnya bertambah jahil (seperti menjadi jahil terhadap kejahilan diri) dan terdapat pula penutup yang boleh sahaja membuatnya buta pada realiti tujuan penciptaan Ilahi, sifat-sifat Tuhan dan kehidupan akhirat.
Selain itu apa juga ilmu yang diperolehi akan membawanya ke matlamat dunia, mengukuhkan kepentingan diri, berkelakuan keji dan jika insan tersebut seorang seniman atau karyawan, hasil seninya juga akan diwarnai oleh unsur-unsur jelek tersebut hingga dia merosakkan pula orang lain.
Imam Ali (as) pernah berkata: "Wahai penuntut ilmu, ilmu mempunyai banyak kemuliaan. (Jika kamu bayangkannya sebagai manusia maka) kepalanya adalah rendah diri, matanya adalah bebas dari iri hati, telinganya adalah kefahaman, lidahnya adalah kebenaran, mindanya adalah penyelidikan, hatinya adalah niat yang baik, inteleknya adalah ilmu (ma?rifah) mengenai benda dan perkara, tangannya adalah belaian kasih sayang, kakinya adalah menziarahi yang berilmu, keazamannya adalah kejujuran, kebijaksanaannya adalah ketaqwaan, tempat tinggalnya adalah keselamatan, kemudinya adalah kesihatan, tunggangannya adalah ketaatan, senjatanya adalah kelembutan berbicara, pedangnya adalah berpuas hati (ridha), tunduknya adalah kesabaran, tenteranya adalah perbincangan dengan yang berilmu, hartanya adalah pekerti yang mulia, simpanannya adalah menahan diri dari maksiat, kelengkapannya untuk perjalanan adalah kesucian, air minumnya adalah lemah lembut, petunjuknya adalah petunjuk Ilahi, dan sahabatnya adalah mencintai yang terpilih." [Al-Kulayni, al-Kafi, kitab fadl al-?ilm, bab al-nawadir, hadith # 3]
Budayawan tentera juga perlu menyedari tujuan mencari ilmu itu harus benar-benar jelas, Imam Ali (as) berkata: "Jangan mencari ilmu untuk empat tujuan: (1) Mengagungkan diri di hadapan manusia berilmu (2) Berhujah dengan orang yang jahil (3) Mununjuk-nunjuk di dalam perhimpunan manusia (4) Menarik perhatian manusia untuk mendapatkan jawatan atau nama untuk berkuasa." [Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, jilid 2, ms 31]
Memasjidkan semua lapangan seni
Seniman pada saya wajib memantapkan ilmu yang ada dalam dirinya kerana melibatkan diri dalam bidang penulisan atau perfileman, malah pementasan adalah suatu cabaran berilmu, menyampaikan ilmu dan pendek kata apa sahaja persoalannya ialah bergulat dengan ilmu.
Dalam keadaan masjid hari ini tidak lagi menarik minat generasi baru, kita harus memasjidkan filem, memasjidkan karya sastera, dan memasjidkan semua lapangan seni supaya anak muda yang memang menggilai hiburan-hiburan tadi terdidik dan menjadi generasi berilmu dari pembacaan karya kesusasteraan atau menjadi penonton yang pandai setelah menonton sesebuah filem.
Supaya mereka tidak pulang bengkak mata hanya kerana menangis emosi atau senak perut lucu tertawa dan kesan itu tidak melekat dalam diri kerana ia semata-mata meraikan nafsu paling rendah manusia.
Karya persuratan Melayu-Islam sejak lama dahulu telah menjadi pusat dan paksi ilmu malah menjadi sekolah buat orang-orang Melayu, selain menjadi benteng peribadi, akhlak dan akidah umat Melayu. Insya-Allah siri lain mengenai seni ini akan terus mengupas pelbagai persoalan melibatkan peribadi seniman, karyanya dan sikap khalayak juga. - mks.
Daripada: www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=4370&Itemid=79
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Jul 2, 2008 21:34:56 GMT 8
Salam, pemikiran tambahan mengenai dimensi novel ilmu ini: Dimensi Pertama - Novel Ilmu Tak Dirancang. - (Unplanned Knowledge) Dimensi Kedua - Novel Ilmu terancang (Planned knowledge) Dimensi Ketiga - Novel Ilmu Terancang sebagai rakaman ketamadunan Bagi para asatizah, samada di mana-mana dimensi, kekuatan asatizah ialah dalam mengungkap ayat Qur'an dan membawakan contoh-contoh Sunnah, yakni, yang membawa kepada fikir dan zikrullah... Ia haruslah dilakukan secara berhikmah seperti yang berlaku dalam AAC dan JIdJ - kedua-duanya sebagai contoh sunnah yang boleh diikuti dalam aspek kehidupan yang berbeza (perkahwinan - AAC, sukan - JIdJ). atau Advencer Si Peniup Ney (hiburan alternatif bagi remaja Islam). Ia juga boleh dilakukan dalam mode wacana seperti novel-novel FT yang berat, contohnya, Bila Tuhan Berbicara (BTB - mengenai theatre dalam Islam) dan Tuhan Manusia (TM - menangani kemurtadan), malah, dalam novel bersiri, Perempuan di Wajah Langit Pagi (PdWLP - isu feminisme/persuratan baru dll). Asatizah digalakkan mendapatkan novel-novel di atas, tentunya Karya-karya Ustaz Faisal Tehrani, Ustaz Zaid Akhtar, Ustaz HabiburRahman El-Shirazy yang perlu dimiliki, supaya dapat dijadikan panduan terbaik: www.ujanailmu.com.my/cat_faisal.cfmwww.ujanailmu.com.my/cat-zaid-akhtar.cfmwww.ujanailmu.com.my/pd_ayat-ayat_cinta.cfmWassalam.
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Jul 22, 2008 23:12:21 GMT 8
Tentang Sastera Islam Sastera Islam Berasaskan Teori Takmilah Oleh ZUNAIDAH ZAINON Utusan Malaysia 1 Ogos 2006
VAKUM akal dan pemikiran sesetengah individu yang berpandangan sempit terhadap agama Islam turut memberi kesan terhadap karya sastera. Sastera adalah medium paling halus yang boleh membawa arus pemikiran dalam masyarakat.
Lalu, apabila kesedaran Islam meningkat dan memberi impak kepada perkembangan sastera Malaysia, ia dilihat sebagai fenomena positif.
Selaras dengan itu, sastera Islam mula dikaji di Malaysia. Shafie Abu Bakar mengutarakan satu konsep iaitu Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid. Kemudian, beliau menggunakan istilah takmilah dalam Nadwah Sastera Islam Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 1993. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Takmilah: Teori Sastera Islam.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Samsina Abd. Rahman, teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam. Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil.
Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains, perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama.
“Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori takmilah, menurut Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu komponen falsafah dan teknik berkarya,” jelas Samsina yang mengkhusus dalam Kesusasteraan Melayu khusus dalam Puisi Islam, Teori Sastera Islam (Takmilah) dan Kesusasteraan Melayu Mistik (tasawuf).
Beliau berpendapat, perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi Maja.
“Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda.
“Bagaimanapun, penglibatan penulis wanita dengan karya berunsur Islam tidak begitu ketara kerana kita juga kekurangan penulis wanita,” ujar beliau yang turut aktif melahirkan puisi-puisi berunsur Islam.
Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan. Perkembangan sastera Islam negara dipercayai bermula pada 1930-an. Ia semakin ketara pada 1970-an kerana ketika itulah berlakunya kebangkitan Islam. Melalui kerjasama antara DBP dan persatuan penulis setiap negeri, karya sastera berunsur Islam semakin bercambah dengan kemunculan penulis-penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.
Apa Kata Penulis Tentang Sastera Islam?
S.M. ZAKIR berpendapat, sastera Islam adalah sesuatu yang subjektif. Malah di negara Arab tidak wujud istilah sastera Islam dan bukan Islam. Bagi beliau, sastera Islam mempunyai konsep yang meluas kerana sifatnya yang universal.
“Saya tidak mahu membataskan sastera Islam kepada skop yang kecil kerana ia turut melibatkan penulis yang bukan beragama Islam. Apabila kita meletakkan konteksnya terlalu rigid, maka ia tidak menepati konsep untuk berdakwah,” kata penulis ini yang nama penuhnya Syed Mohd. Zakir Syed Othman.
S.M Zakir, 37, menggunakan penulisan sebagai medium untuk melontarkan pandangan, pendapat dan fikiran. Cerpen Kaca, Relung, Pelita dan Zaiton karyanya merujuk kepada surah an-Nur yang membicarakan mengenai fakulti akal manusia.
Katanya, konsep Islam adalah jelas iaitu menegak iaitu hubungan yang wujud antara manusia, alam dan Maha Pencipta. Sastera adalah medium dakwah paling berkesan jika ia dipraktikkan dengan betul tanpa menyempitkannya kepada skop sastera Islam sahaja.
“Apabila kita bawa konsep yang bebas, maka ia lebih menyeluruh dan menjadi medium dakwah paling berjaya. Oleh itu, kita turut melihat karya sastera dari sudut luaran,” ujar beliau.
Ibnu Miskawaih dalam buku Tahzib al-Akhlak menyatakan bahawa konsep hubungan dalam Islam baik sastera atau kesenian adalah sesuatu yang indah dipandang mata. Ini termasuk bahasa yang dituturkan, deria rasa, bau dan melihat sesuatu yang sempurna. Dalam konteks ini, sastera Islam harus menggunakan bahasa yang sedap didengar.
“Walaupun ingin mengkritik sesuatu isu, kita perlu mendekati dengan cara baik dan menggunakan bahasa yang jernih,” kata beliau yang menggondol 22 anugerah sastera kebangsaan termasuklah Hadiah Sastera Perdana kategori Buku Kumpulan Cerpen 1994/1995 (Merengkuh Langit) dan Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril).
AMIRUDDIN ALI
BAGI Ketua I Penulis Johor ini, sastera Islam perlu memiliki kebenaran dan pegangan kerana Islam berkonsepkan Ad-Din. Kebiasaannya karya sastera mengangkat nilai moral tetapi kurang dari segi penghayatan agama.
“Apabila kita menulis, lakukan dengan penuh tanggungjawab dan penghayatan jiwa. Ia bukan sekadar luahan perasaan semata-mata. Penulis juga perlu ada pegangan kerana ia merupakan sebahagian daripada konsep tauhid. Nilai dalam karya sastera pula harus lebih beradab,” kata penulis berusia 41 tahun ini yang berasal dari Johor.
Beliau melihat sastera Islam di Malaysia agak lambat berkembang walaupun sudah bermula sejak 1970-an. Tetapi kini ia semakin menampakkan perubahan ketara dengan penglibatan penulis-penulis muda yang bertunjangkan latar belakang pendidikan agama.
Bahkan beberapa langkah telah diambil. Misalnya, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang menganjurkan pertandingan penulisan sastera Islam hampir pada setiap tahun. Bagaimanapun, ia ‘terbiar’ kerana kurang penghayatan dan orang menganggap ia adalah budaya secara luaran.
FAISALTEHRANI
“DALAM apa bahasa apa sekalipun, asalkan seseorang penulis Islam menulis tentang Islam serta kebenaran diangkat dengan mengekalkan keindahan dan tauhid, maka semuanya adalah sastera Islam. Ada tiga aspek penting yang perlu ditekankan iaitu keadilan, keindahan dan kebenaran. Ia bukan sahaja melibatkan bahasa,” ujar penulis muda ini yang baru berusia 30 tahun. Fasal Tehrani tidak menafikan sastera Islam mempunyai cabang tertentu termasuklah sastera sufi. Contoh penulis sastera Islam ialah karya-karya Hamzah Fansuri dan Amir Hamzah dari Indonesia.
Tambah Faisal, sastera Islam perlu memiliki ketinggian ilmu, pemikiran dan wacana. Ilmu yang dimaksudkan berupaya membawa basirah dan mendekatkan diri kepada Allah dan kebenaran. Kesannya, ia boleh menyeru dan membawa khalayak ke arah kebaikan.
“Antara tanggapan terhadap karya saya ialah ia dikatakan terlalu didaktik iaitu mempunyai unsur-unsur berceramah dan khutbah. Perlu difahami bahawa karya Islam adalah khutbah. Contohnya, karya Imam Ali bertajuk Nahjul Balaghah yang menghimpunkan ucapan khutbahnya. Jika dibaca secara mendalam, ia adalah karya sastera yang besar.
“Sesetengah orang tidak faham tentang sesetengah karya yang ada hukum karma. Adakah ia membosankan? Saya rasa ini disebabkan khalayak sudah biasa terdedah dengan karya-karya Barat. Bagi saya tidak timbul soal bosan kerana karya Saidina Ali sangat menarik dan nilai kesusasteraannya tinggi,” ujar Faisal yang meminati semua cabang karya termasuklah tulisan Shahnon Ahmad, Shafie Abu Bakar dan Afandi Hassan.
Beliau juga berpendapat, individu yang mempunyai latar belakang bidang agama dan tahu tentang agama boleh meningkatkan penulisan sastera berunsur Islam. Bagaimanapun, pemikir seperti Khalil Gibran yang merupakan Kristian Armenia (Asia Tengah) berupaya menghasilkan karya-karya yang mengandungi nilai Islam dan boleh dikongsi oleh semua agama.
“Saya terpanggil untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari selepas berlakunya tragedi 11 September 2001 yang memberi kesan ke atas umat Islam. Sejak itu, karya-karya saya terarah pada sastera Islam. Bagi saya, sastera Islam perlu ada taujih (pengajaran) dan mulahazah (pengawasan) agar ia mampu memberi kesan secara mendalam,” ujarnya.
Cerpen Faisal yang berjudul Cahaya Pada Jiwa yang memenangi Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur Islam 2005 anjuran DBP telah diadaptasi menjadi sebuah drama televisyen yang diarahkan oleh Fuziah Abd. Rahman. Drama yang membawa persoalan amanah dan isu rasuah serta ujian keimanan itu akan disiarkan di RTM1 pada haari Sabtu 5 Ogos pukul 2 petang.
SHAMSUDIN OTHMAN
“Sastera Islam harus bertitik tolak daripada akidah Islam dengan berteraskan al-Quran dan sunah. Ia kemudian berupaya membawa perubahan akidah yang menghayati ciri-ciri ketauhidan Islam dan mengubah paradigma dan persepsi khalayak,” kata guru Sekolah Menengah Alam Shah, Putrajaya yang berusia 40 tahun ini. Bagi Shamsudin, sastera bermoral adalah berbeza kerana ia turut membabitkan penulis bukan Islam seperti Utayashankar yang berjaya menghasilkan karya-karya sastera dengan nilai moral yang mengesankan.
Di Malaysia, sastera berfungsi sebagai alat perpaduan manakala Islam adalah agama rasmi negara. Misalnya, sajak-sajak Lim Swee Tin mempunyai hubungan yang amat rapat dengan agama. Antara penulis muda yang banyak menghasilkan karya berunsur sastera Islam ialah Faisal Tehrani.
“Cuma kita bimbang apabila berbincang mengenai sastera Islam, ia seolah-olah membuka vakum kepada penulis bukan Islam. Masyarakat juga tidak boleh mempertikaikan penulis bukan Islam yang menulis tentang Islam,” ujar Shamsudin yang amat d**enali menerusi karya puisi berunsur Islam. Kebanyakan karya beliau berdasarkan pemikiran yang menjadi penggerak kepada penulisan asas kitab-kitab agama Islam.
Shamsudin yang juga pensyarah sambilan penulisan kreatif di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya menyatakan Shafie Abu Bakar telah memperkenalkan teori takmilah yang memberi panduan khusus tentang ciri-ciri sastera Islam.
Di samping itu, Mohd. Afandi Hassan pula membawa teori Ketauhidan yang menyatakan penulis sastera Islam perlu dilihat dari segi jiwa mereka. Turut popular ialah teori Pengkaedahan Melayu oleh Dr. Hashim Awang yang bertitik tolak daripada konsep agama dan budaya.
Shamsudin memberi contoh novel Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Husain yang memperlihatkan perjalanan manusia menuju ke arah pengabadian Tuhan. Dengan membentuk satu watak iaitu imam, Abdullah berjaya mengislamkan semua watak dalam novel tersebut.
Shamsudin menerima pendedahan pengajian agama sejak kecil sementelah datuknya, Kiyai Shamsudin yang pernah menjadi guru agama kepada Sultan Johor suatu waktu dulu mempengaruhi karya-karya puisinya. Beliau juga berpegang teguh kepada pesanan arwah datuknya agar sentiasa menjadi penulis yang bertanggungjawab.
“Keindahan sastera Islam boleh membentuk hubungan alam menjadi intipati perencanaan teks. Walaupun DBP pernah menganjurkan seminar tentang sastera Islam tetapi ia tidak memberi jawapan tentang konsep sastera Islam yang menepati negara Islam hadhari,” ujar beliau yang memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Islam kali ke-10 anjuran DBP dan Yayasan Pelajaran Malaysia pada tahun lalu menerusi puisi Aksara Rindu.
(amek dari blogtehranifaisaldotblogspotdotcom - bukan dia nyer artikel)
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Oct 7, 2008 18:55:01 GMT 8
Oh, Prof Taqi… Pencarian yang tak bermula tidak mungkin menemukan! Segalanya LULUH, tuan!
Dapatkan Milenia Muslim - Oktober 2008
Sewaktu pulang, mengiringi Dr Ali Taqi dalam keretanya, Hashemi membuka mulut bertanya, "Dr Ali, apa yang Dr maksudkan dengan terkadang tidak mengetahui beberapa hal itu lebih baik?"
Dr Ali Taqi tersenyum, menanggalkan kaca mata. "Ingatan kamu tajam, Shimi. Lihat ayat 101 surah al-Maidah: "janganlah kamu menanyakan kepada Nabimu hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu...” Nah, dalam ayat ini dikatakan janganlah bertanya beberapa hal yang jika menjadi jelas akan membebankan kita. Ada perkara yang ssaran dakwah kita belum dapat menanggungnya maka dia tidak perlu tahu dan dia tidak berhak diberitahu. Jika dia mendesak, wajar ditinggalkan. Ilmu menurut al-Qur’an, Shimi, ada tiga macam.
Pertamanya, pengetahuan yang bermanfaat. Lihat sahaja Nabi Musa yang berkata kepada Nabi Khidir, ”apakah anda mengizinkan saya mengikuti anda dalam perjalanan, supaya saya memperoleh ilmu yang telah dikurniakan kepada anda?” Perihal ini terbentang dalam ayat 66 surah al-Kahfi: ”Bolehkan akau mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?” Maka ilmu begini tentu sahaja wajar dan berhak diajar.
Hashemi fokus dengan sepenuh perhatian.
“Ada juga pengetahuan yang sama sekali tidak bermanfaat. Malah bermudharat. Ayat 102 dalam surah al-Baqarah ada menceritakan perihal kelompok ini: ”Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepada mereka dan tidak memberi manfaat.’ Shimi, ilmu sihir misalnya satu bentuk ilmu yang mendatangkan mudharat.
Kemudian... ada satu jenis pengetahuan atau ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak pula mendatangkan mudharat tetapi lebih baik tidak dihebahkan.”
Dr Ali Taqi menelan liur. ”Misalnya, apakah penting dan mustahak mengetahui jumlah anggota ashabul kahfi, apakah mereka itu tiga, empat, tujuh atau lebih?”
”Tak perlu tahu?” Soal Hashemi bagaikan tidak berpuas hati.
Dr Ali Taqi ketawa kecil, “Dalam ayat 22 surah al-Kahfi dinyatakan begini: ‘(jumlah mereka) adalah tiga orang dan yang keempat adalah anjingnya dan (yang lain) mengatakan (jumlah mereka) adalah lima orang, yang keenam adalah anjingnya…”
Shimi jumlah ahli ashabul kahfi tidak penting untuk masyarakat. Yang penting ialah pengajarannya. Dalam Islam, sejarah mesti direnung. Yang penting dalam hal ini ialah bagaimana daya upaya dan kesabaran beberapa pemuda mempertahankan agama mereka dalam kelompokmasyarakat yang penuh kerosakan. Untuk menjaga keyakinan dan iman, mereka berhijrah dari lingkungan maksiat dan syirik. Mereka memilih untuk tinggal dalam gua berbanding tinggal di tengah hiruk pikuk maksiat di kota. Yang penting ialahkita belajar ketegasan dan kesabaran mereka itu. Bukan bila tarikh mereka hidup, bila tarikh mereka tidur, atau berapa jumlah sebenar dan macam-macam lagi.”
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on May 25, 2009 13:07:34 GMT 8
dari: www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090514093313/Article/index_htmlPolemik sastera popular menular Oleh Nazmi YaakubRamai memilih karya ringan berunsur Islam untuk tarik pembaca bagi lonjak jualan novelPOLEMIK sastera popular berjangkit dalam sastera Islam apabila novelis dan pengarang muda terutama berlatarbelakangkan pengajian Islam, apabila turut meminjam pendekatan popular untuk menghasilkan karya kreatif berunsurkan Islam dalam usaha menarik minat pembaca. Percikan polemik pendekatan popular dalam sastera Islam yang sebelum ini lebih berlegar dalam dunia siber terutamanya laman blog, dibincangkan secara nyata pada Forum Sastera Popular Islami di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Meskipun forum sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 itu, tidak memberi kesimpulan tuntas terhadap kewajaran sastera Islam meminjam pendekatan popular, pandangan yang dilontarkan tiga panel generasi baru itu berjaya didasarkan kepada sejarah sastera Islam dan realiti semasa. Hal ini dibantu oleh pemilihan panel yang tepat dan mewakili pengarang serta pengkritik yang terbabit secara langsung dalam sastera Islam sehingga menyebabkan forum anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) itu, tidak hilang arah dan tumpuan. Forum itu tidak mengulangi ‘kesilapan’ Forum Kepengarangan Muslimah Nusantara: Arah dan Falsafah apabila tidak berupaya membicarakan dasar kepengarangan serta hala tuju pengarang dalam sastera Islam, tetapi forum sastera Islam popular masih berupaya mendapatkan ahli panel ‘berjenama’. Pengarang muda kontroversi, Mohd Faizal Musa atau lebih d**enali sebagai Faisal Tehrani, mempersoalkan kewajaran dunia sastera tanah air meniru gaya dan persembahan sastera Islam bersifat popular di Indonesia ekoran latar belakang pembacaan dengan iklim, suasana dan budaya berbeza. “Penghasilan novel seperti Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman el-Shirazy memang berguna untuk menyaingi kebanjiran novel erotisme dan buku kumpulan Islam liberal di Indonesia. Sebaliknya Malaysia tidak berdepan dengan masalah ini dan peniruan gaya berkenaan menimbulkan tanda tanya,” katanya pada forum yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Pena, Shamsudin Othman. Bagaimanapun, Faisal Tehrani masih mengakui, pengalaman dan pengetahuan dalam konteks sastera Islam antara dua negara terbabit masih boleh dimanfaatkan antara satu sama lain, meskipun iklim, suasana, budaya dan pengamalan Islam yang berbeza. “Sastera Islam di negara ini bermula seawal zaman Tok Kenali pada dekad 1920-an apabila beliau banyak menghasilkan cerpen berunsur berkhutbah, tetapi kematiannya menyebabkan karya dalam bentuk itu turut lenyap. Gaya penulisan sastera Islam moden berkembang semula pada 1960-an melalui puisi Islam seperti Adi Rumi dan Dr Zulkifli Mohamad,” kata novelis Tunggu Teduh Dulu, Tuhan Manusia dan Saasatul Ibaad itu. Faisal Tehrani melihat sastera Islam sehingga 1970-an muncul dalam bentuk terpencil dan terpisah-pisah sehinggalah konsep sastera Islam d**emukakan SN, Prof Emeritus Dr Shahnon Ahmad termasuk polemiknya dengan Dr Kassim Ahmad, manakala pengarang dan pemilik Pustaka Dian di Kelantan, Allahyarham Datuk Yusuf Zaki Yaacob pula, pernah membentangkan kertas kerja yang menjelaskan sastera Islam di Jakarta, Indonesia. Pada forum terbabit, Faisal Tehrani turut menimbulkan persoalan kewajaran mengimport gaya popular itu ke negara ini, manakala Habiburrahman sendiri menganggap kecenderungan penulis baru di negaranya untuk tampil dengan gaya penceritaan hampir sama dan nama pena yang stereotaip, boleh membunuh bakat dan kreativiti mereka. “Inilah penyakit umat apabila lebih gemar menjadi pengikut kerana novel seumpama itu. Maka, kita dapat melihat berbondong-bondong puluhan judul novel di rak kedai buku, tetapi bentuk dan gaya penulisannya lebih kurang sama, seolah-olah tidak terdorong menjadi pencetus kepada sesuatu yang lebih baru,” katanya yang terkenal dengan novel Di Atas Sajadah Cinta, Ketika Cinta Berbuah Surga, Pudarnya Pesona Cleopatra, Ketika Cinta Bertasbih 1, Ketika Cinta Bertasbih 2 dan Dalam Mihrab Cinta. Habiburrahman turut menegaskan beliau tidak pernah mengambil kira pendekatannya bersifat popular atau tidak, sebaliknya lebih mengutamakan cara untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat, tanpa mengharapkan perakuan terhadap karyanya. Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sastera Islam menampilkan perbezaan ketara daripada karya Barat apabila menawarkan watak manusia yang agung dan bersifat adi luhur. “Karya Barat mendedahkan keburukan sebagai nilai dan pengaruh besar, selain menelanjangkan watak sehingga mempesonakan pembaca, tetapi dengan citra buruk. Wataknya malang, sakit dan hina, sedangkan sebagai umat Islam, kita memerlukan watak baik dan agung, sekali gus melihat sisi kecantikan pada manusia,” katanya. =========================== Nota ringkas S.K menyusul nanti...
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Aug 24, 2009 9:28:27 GMT 8
Dari:utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htmARKIB : 23/08/2009 Tauhid, wilayah sebenar sastera Oleh FAISAL TEHRANI SAYA berpendapat kita memerlukan sebuah persuratan yang menyediakan solusi untuk setiap masalah ummah dengan jalan supra mazhab. Saya perhatikan mutakhir ini karya sastera Islam kita telah menjadi kaku beku di dalam zon selesa. Pengarang hanya memuatkan beberapa pandangan ulama, ayat Quran atau hadis dan ungkapan-ungkapan keislaman untuk menjadikan karyanya sastera Islam. Ini lebih-lebih lagi dapat dilihat menerusi karya generasi baharu yang cenderung bersifat 'pop-keislaman'. Hanya terdapat seorang dua pengarang muda yang 'bekerja keras sedikit', dengan memuatkan wacana ilmu supaya karya sastera Islam tersebut mempunyai nilai tambah. Perkara ini pernah disinggung satu masa dahulu oleh filsuf Algeria terkenal, Malek Ben Nabi, yang mengatakan setelah mengenal pasti masalah, umat Islam mesti menyediakan satu sikap sosial (solusi), dan bukan sekadar mengeluh dan mengulang membicarakan tentang masalah tersebut tanpa henti. Justeru, untuk kepentingan ummah secara menyeluruh; maka Islam dan umat yang dimaksudkan dalam kerangka sastera Islam tidak harus terhad kepada kelompok tertentu sahaja. Ini bererti kita tidak harus menulis untuk memberi penawar kepada umat Islam di Malaysia semata-mata. Kita perlu menulis untuk umat Islam secara global. Sayyid Hossein Nasr dalam Ideals and realities of Islam (1967) menekankan Islam adalah sebuah agama yang pluralistik dengan kepelbagaian tradisi. Dengan menggaul pelbagai tradisi Islam dari setiap penjuru dunia, ummah dapat saling meminjam kekuatan dan kelebihan satu sama lain. Ini bersesuaian dengan seruan Taha Jabir Fayyad al-Alwani dalam The Ethics of Disagreement in Islam (1997). Beliau menyebut, "If differences of opinion operate in a healthy framework they could enrich the Muslim mind and stimulate intellectual development". Di sinilah pula datangnya peranan disiplin sastera bandingan yang dapat memugar persamaan dan perbezaan sastera Islam dari pelbagai rantau umat Islam. Sarjana sastera bandingan kita sudah perlu melangkah membandingkan wacana dan produk sastera Islam dari wilayah lain. Perbandingan yang bersungguh-sungguh akan membolehkan kita umat Islam membentuk satu jati diri persuratan yang bermodelkan kepimpinan Islam yang benar dengan pendekatan 'supra mazhab'. Gesaan melakukan kajian bandingan antara sastera Islam bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah dianjur oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam esei beliau Kesusasteraan Bandingan dan Situasi Malaysia: Beberapa Pengamatan Awal Dalam Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin (1994). Beliau menyatakan khazanah sastera berunsur Islam mempunyai satu kesatuan iaitu Islam untuk dibandingkan. Sarjana ini malah meramalkan suatu yang 'menarik' sekiranya kajian dalam bentuk bandingan dilakukan. Sastera Melayu Islam misalnya dapat meminjam kekuatan sastera Islam rantau Indo Pakistan yang kuat tradisi sufismenya. Kita di Nusantara juga dapat menekuni dan meminjam apa yang baik dari sastera Islam Parsi dengan kekuatan falsafah pada tradisi sastera Islam syiahnya. Belum ada pula perbandingan yang bermakna untuk meminjam tradisi sastera Islam dari Afrika yang kukuh dengan pengaruh tarekat Sanusiyyah dan jihad yang panjang menentang kolonialisme Perancis dan Itali. Dengan membandingkan wacana dan pemikiran (yang terbenam dalam karya sastera Islam pelbagai tradisi) satu kesatuan ummah juga dapat digerakkan. Menurut seorang ulama sunnah wal jamaah yang terkenal, Dr. Abdul al-Majid al-Najjar dalam buku yang diterjemahkan dengan judul Kebebasan Berpendapat dan Penyatuan Pemikiran Ummat (1997): "Kesatuan dan keharmonian model perpaduan untuk meraikan kepelbagaian ummah ialah dengan menggunakan akal (intelektual) berasaskan tauhid yang mutlak demi akidah Islam". Penggunaan formula supra mazhab dalam karya sastera Islam (juga dalam disiplin sastera bandingan) kita dengan itu dapat menjadi satu dakwah bil hal atau gerakan mengajak kebajikan berdasarkan ayat 10 surah al-Hujurat: "Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." Berdasarkan ayat al-Quran ini, kita malah dapat mengacukan sebuah model persaudaraan dalam sastera sastera Islam, dengan menggunakan paduan dua kaedah usul fikah iaitu sadd al-dhara'ei (menutup pintu bahaya) dan al-akhdhu bi al-Ahwat (mengambil yang lebih berhati-hati). Paduan dua kaedah ini akan membolehkan kita membataskan peminjaman tradisi sastera dan naratif (contohnya dari Barat) yang sama sekali tidak berkenaan dengan kita. Sudah tiba masanya kita menonjolkan kekuatan kita sebagai pemimpin dalam menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian untuk masalah ummah. Ini kerana umat Melayu-Islam adalah umat yang telah menunjukkan toleransi, kreativiti dan kebijaksanaan dalam pelbagai disiplin. Usahlah kita membunuh 'potensi' yang sedia ada ini. Sebaliknya kerencaman umat Islam harus digali, ditekuni, dipugar dan diadaptasi kembali menjadi satu kekuatan baharu. Ini saya tanggapi sejajar dengan dua pandangan sarjana terkemuka kita. Pandangan dua tokoh berikut telah saya tekankan dalam prakata novel saya Tuhan Manusia. Yang pertama saya petik dari makalah al-marhum ustaz Yusoff Zaki Yacob "Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu dari Intelektualisme Islam" yang beliau kemukakan pada tahun 1973 dalam Simposium Sastera dan Agama. Seterusnya esei Tumbuh Tiada Berbuah tulisan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein al Attas untuk Hari Sastera 1978 di Kuala Trengganu. pembangunan Ustaz Yusoff Zaki menulis: "Kini, di saat kita mengkehendaki satu bentuk pemikiran Islam yang dinamis, sesuai untuk menjiwai pembangunan kita, maka undang-undang yang cuba menahan perkembangan pemikiran Islam dalam tembok-tembok mazhab yang sempit itu perlu dihapuskan. Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab, kerana persoalan-persoalan yang timbul di zaman moden ini tidak mampu diatasi dengan pemikiran mazhab Syafie sahaja". Perhatikan ketegasan dan seruan beliau sekali lagi, "Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab." Pandangan Allahyarham Yusoff Zaki yang banyak mencorakkan sastera Islam tanah air sejak tahun 70 an sejajar dengan pandangan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein alAttas. Profesor Syed Hussein menyebut: "Bagi para penulis dan penyair kita di Malaysia dan Asia Tenggara seluruhnya, apakah ertinya soal pembukaan kembali pintu ijtihad ini? Ertinya mereka harus menghidupkan semangat bebas berfikir, bebas dari belenggu feudalisme; dari belenggu faham-faham yang sudah usang; dari belenggu faham taklid yang negatif. Mereka mesti menghidupkan semangat ini hingga ada nanti yang terpengaruh dan tampil ke muka, di kalangan generasi yang akan datang, bagi mendirikan sistem-sistem pemikiran yang dapat menggerakkan jiwa masyarakat ke arah kemajuan dan keadilan. Sebagai penulis-penulis Islam mereka mesti mengetahui dasar-dasar agama Islam; mesti mengetahui tentang ilmu-ilmu zaman sekarang; mesti mengetahui tema-tema yang penting dan yang belum cukup diperhatikan; mesti pandai mengolah unsur-unsur Islam, ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan sekeliling, dalam satu hidangan yang akan berhasil meninggikan darjat kesedaran, pemikiran dan perjuangan ke arah yang murni". Sudah tiba masanya kita bergerak dari pertikaian apakah karya sastera harus memuatkan ilmu yang benar atau tidak, di sebalik cerita yang berhemah atau tidak. Kita harus bergerak dari perbincangan apakah kriteria untuk menilai Islam atau tidaknya sesuatu karya. Generasi baharu pengarang sastera Islam mesti mencabar diri masing-masing untuk membuka ketempurungan minda menerokai wilayah sastera Islam yang sebenarnya luas. Persuratan Islam yang kini lembab perlu disegarkan kembali dengan peranan asasnya iaitu hendak 'melangsaikan masalah ummah dengan menyarankan solusi dari pelbagai tradisi Islam'. Ini perlu supaya sastera Islam kita terus bergerak menuju walayat yang sebenar iaitu - tauhid. Dan inilah cabaran sastera Islam dekad-dekad mendatang.
|
|
|
Post by S.K CintaZeni on Nov 8, 2009 22:12:39 GMT 8
SASTERA Kemelut novel Islam pop
Oleh Nurul Farina Nazlan
Demam Ayat-ayat Cinta berjangkit pengarang Malaysia
SASTERA Islam kini dilihat semakin terarah untuk mengikut pendekatan penulisan sastera popular apabila semakin ramai penulis baru dalam kelompok ini berusaha mencipta nama dengan novel Islam berbau pop selepas Ayat-Ayat Cinta menjulang nama Habiburrahman el-Shirazy.
Kejayaan Habiburrahman memenangi sebahagian besar peminat novel Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, sehingga ia dipindahkan ke filem dijadikan sebagai landasan untuk menghasilkan karya sedemikian bagi menjamin ‘pelaburan’ idea dan pengorbanan masa mereka mendapat pulang baik.
Novelis Islami, Zaid Akhtar, mengakui bahawa sejak ‘demam’ Ayat-Ayat Cinta melanda Indonesia dan Malaysia, semakin ramai penulis terdorong untuk menulis novel berkonsep sedemikian dengan harapan mereka turut dapat menumpang tuah pengarang Indonesia terbabit.
“Barangkali disebabkan sambutan hebat terhadap novel popular itu yang diulang cetak berkali-kali membuka mata pelbagai pihak termasuk penerbit dan penulis bahawa novel dan karya Islam juga mampu menarik minat masyarakat untuk menjadikannya sebagai wacana ilmu,” katanya kepada Sastera ketika ditemubual secara dalam talian.
Zaid juga mengakui bahawa minat pembaca terutama generasi muda kini lebih cenderung membaca novel cinta melalui pendekatan dan cara penulisan yang lebih bersifat Islamik jika ia disorot pada perkembangan yang berlaku dalam industri buku akhir-akhir ini.
“Sambutan terhadap novel popular sedia ada dikatakan agak merosot sebaliknya, pembaca mula beralih kepada novel Islami berkonsepkan pop kerana generasi muda secara fitrahnya lebih cenderung dengan persoalan cinta dan kasih sayang,” jelasnya.
Zaid atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Abdul Majid, menolak novel Islami pop di Malaysia dimulai dengan Ayat-Ayat Cinta kerana pengarang generasi baru Malaysia, Faisal Tehrani sudah pun memulakannya melalui Tunggu Teduh Dulu secara bersiri untuk Ruangan Agama akhbar Utusan Melayu pada 2003 sebelum ia dibukukan.
“Bagi saya Tunggu Teduh Dulu lebih baik daripada Ayat-Ayat Cinta jika ditinjau daripada beberapa sudut, tetapi tidak menjadi fenomena dan tidak pula dianggap perintis aliran terbabit seperti yang dinikmati karya pengarang negara jiran itu,” jelasnya.
Kehadiran novel Islami pop dilihat Zaid membawa kesan positif dan negatif kepada negara apabila pembaca beroleh bahan bacaan alternatif berbanding penyogokan novel cinta popular yang melanda pasaran buku tanah air seperti sebelum ini
“Novel Islami pop banyak dihasilkan lulusan agama dan sedikit sebanyak mampu mendidik, berdakwah serta melaksanakan tuntutan menggalakkan kebaikan dan menentang kemungkaran selain boleh dijadikan jambatan untuk pembaca menyeberang ke wilayah novel sastera lebih serius pada masa depan,” ujarnya.
Untuk membolehkan perkara terbabit direalisasikan, maka pengarang dinasihatkan menjadikan cinta sebagai rencah dalam novel dengan kedudukannya sebagai nombor dua, tiga atau empat dan bukannya paksi yang melatari sepanjang naratif.
Pandangan Zaid disokong Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Samsina Abd Rahman yang menegaskan bahawa perubahan corak penulisan sastera islam adalah sebahagian usaha penulis untuk menarik pembaca terutama remaja.
“Dalam aspek ini, walau sesarat manapun sesuatu penulisan itu mengenai cinta, ia tetap perlu berlandaskan cinta utama iaitu cinta kepada Allah dan masih meniti ke jalan cerita yang memperjelaskan apa juga perlu mengikut syariat Islam,” jelasnya.
Beliau berhujah dengan mengemukakan Teori Sastera Islam yang menuntut pengarang menyempurnakan diri dengan ilmu agar penghasilan karya lebih sempurna dan pembaca pula perlu sedar bahawa bahan yang dibaca ialah karya Islam serta menguasai ilmu bagi menilai karya yang dibaca.
“Pengarang perlu ada niat yang betul apabila menghasilkan sesuatu karya Islam kerana ia perlu berpegang kepada pendirian bahawa ia bertujuan memperbaiki diri dan kita perlu meneliti bagaimana kaedah yang perlu diolah agar lebih terarah kepada sastera Islam sebenar,” ujarnya.
Dr Samsina menasihatkan pengarang agar memanfaatkan saluran sastera bagi memberi nasihat kepada pembaca manakala, pembaca pula dinasihati agar menghayati karya dan bukan membaca sekadar bahan berbau hiburan semata-mata.
|
|